fbpx

Bekalan barang cukup, jangan buat pembelian panik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Situasi  pembelian  panik yang  dikatakan berlaku  di beberapa kawasan di negara  ini tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan  barangan  di  semua  sektor peruncitan  adalah  mencukupi.

Itu jaminan yang diberikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum situasi pembelian panik yang mungkin berlaku berikutan pengumuman  khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok mengenai tindakan kerajaan berhubung  situasi semasa jangkitan  Covid-19  yang menunjukkan trend  peningkatan sejak  kebelakangan ini.

Menurutnya, hasil  pemantauan  yang  dijalankan oleh anggota penguat kuasa setiap  hari mendapati  semua  premis perniagaan  di  peringkat  pengilang,  pemborong  dan  peruncit  masih  beroperasi  seperti biasa.

“Ini menyumbang  kepada  kestabilan  dan  keberadaan  barangan  keperluan  di dalam  pasaran.

“Keadaan  ini  berbeza  ketika  Perintah  Kawalan  Pergerakan  (PKP)  pertama  kali dilaksanakan  pada  18  Mac  tahun lalu  di  mana  kebanyakan  premis  perniagaan  terpaksa ditutup  dan  memberi  kesan  kepada  keberadaan  bekalan  barangan  keperluan  di dalam  pasaran,” katanya.

Alexander berkata, kementerian  sentiasa  memantau  keberadaan  barangan  keperluan pengguna  di  seluruh  negara secara  harian
bagi  memastikan  barangan sentiasa mencukupi  dan  mudah  diperolehi  di  pasaran.

Katanya,  ini sekali gus  mampu  menampung keperluan  pengguna secara berterusan.

“Antara  barangan  yang  dipantau  termasuk  gula,  minyak  masak,  tepung  gandum, beras,  roti  putih,  susu  tepung,  ayam,  sayur-sayuran,  telur,  bawang,  cecair  sanitasi tangan dan  pelitup muka,” katanya.

Alexander berkata, pemantauan  12  barang  keperluan  itu membabitkan  2,711  peruncit  terpilih  daerah (DDR),  1,039  Pemborong  Terpilih  Daerah  (DDW),  223  Pengilang  Terpilih  Daerah (DDM)  merangkumi 222 Parlimen dan 576 Dewan  Undangan  Negeri (DUN).

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan  bahawa situasi  bekalan  barangan  di dalam  pasaran  adalah  terkawal  dan  rakyat  dinasihatkan  untuk  mengelakkan melakukan  pembelian  panik.

“Ini kerana  ia  boleh  memberi  kesan  kepada  kekurangan bekalan barangan  keperluan di dalam  pasaran,” katanya.

Tambahnya, kesemua  anggota  penguat  kuasa  di  seluruh  negeri  juga  akan  terus  giat melakukan  pemantauan  setiap  hari  bagi  memastikan  bekalan  barangan  keperluan terus  terjamin buat semua pengguna.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI