fbpx

MyPAC lahirkan ramai akauntan bertauliah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaiton (kiri, depan) bersama kakitangannya di pejabat MyPAC di Subang baru-baru ini.

Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) mungkin tidak popular dalam kalangan masyarakat tetapi kehadirannya sejak sembilan tahun di negara ini memberi impak yang cukup berkesan untuk menambah bilangan akauntan bertauliah, berkualiti dan mampu menyumbang semula jasa mereka kepada komuniti.

Fokus pembangunan kepada keluarga daripada golongan M40, B40 dan asnaf yang mempunyai anak-anak memiliki pencapaian 5A bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lepasan ijazah dalam program perakaunan membolehkan MyPAC kini memiliki 1,110 graduan.

Graduan ini memiliki kebolehpasaran yang tinggi dengan peluang mendapat pekerjaan lebih mudah pada tangga gaji permulaan RM4,200 di semua syarikat korporat, antarabangsa dan konglomerat malah di institusi kewangan membuatkan ramai ibu bapa ‘celik mata’ untuk membolehkan anak-anak mereka belajar dalam bidang itu dan berada di bawah pemantauan MyPAC.

Kosmo! berkesempatan menemubual Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd. Hassan di pejabatnya baru-baru ini menjelaskan, tentang peranan syarikat untuk melahirkan lebih ramai akauntan profesional di negara ini dengan melibatkan penajaan daripada syarikat korporat yang secara langsung mahu menggajikan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang perakaunan seterusnya bekerja di premis mereka atau di syarikat lain.

“Model MyPAC adalah ‘self discipline’. Kami kena pastikan untuk melahirkan graduan yang memiliki kadar kelulusan yang tinggi. Kalau kami tidak berjaya lakukannya, maka syarikat korporat tidak akan sokong kami.

“Syarikat korporat ini beri tajaan kepada kami setiap tahun, banyak syarikat percaya kepada kami kerana mereka tahu model perniagaan kami adalah yang terbaik,” jelasnya.

KOSMO!: Boleh jelaskan pe­ranan MyPAC dan usaha untuk menambah bilangan akauntan bertauliah dalam kalangan bumiputera?
Zaiton: Melihat pada perkembangan tahun 2014, negara hanya memiliki seramai 1,550 akauntan professional bumiputera yang mewakili tujuh peratus daripada jumlah akauntan profesional bertauliah yang mendaftar dengan Malaysia Institute of Accoun­tants (MIA).

Kami terpanggil untuk berbuat sesuatu dan menghantar kertas cadangan kepada kerajaan untuk membangunkan MyPAC sebagai pemangkin kepada pertumbuhan akauntan profesional dengan memberi manfaat kepada lebih ramai anak tempatan pada masa depan.

Memang sebelum ini ada usaha ke arah tersebut,tetapi ia tidak berapa jitu dan dilaksanakan dengan sepenuhnya. Pada tahun 2015, lahirlah MyPAC sebagai sebuah syarikat diperbadankan sebagai syarikat berhad menurut jaminan. Operasi syarikat telah dibiayai oleh kerajaan melalui geran permulaan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM10 juta.

Kenapa tidak ramai golongan bumiputera dalam bidang ini?
Ada tiga sebab yang mengekang kepada isu tersebut, bukan kerana anak bumiputera tidak cukup pandai, mereka semua­nya pandai-pandai belaka tetapi kerana masalah pembiayaan yang mana untuk mengambil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) atau ICAEW yang mana ia berpangkalan di United Kingdom.

Yuran peperiksaan perlu dibayar dalam pound sterling dan pastinya harganya mahal, malah lebih mahal jika dibandingkan dengan kadar tukaran ringgit semasa.

Masalah kedua pula adalah tiada pendedahan daripada ahli keluarga yang mana ibu bapa mereka sendiri tidak cenderung mengetahui tentang masa depan perakaunan kerana ramai dalam kalangan orang Melayu lebih kearah berniaga, bekerja sendiri atau bekerja dengan kerajaan serta syarikat swasta.

Selain itu, peperiksaan untuk ACCA terlalu susah untuk lulus. Di seluruh dunia sehingga sekarang cuma ada 250,000 individu telah mendapat pentauliahan tersebut di 180 buah negara manakala di Malaysia hanya terdapat 20,000 lulusan dan 10 peratus adalah dalam kalangan orang Melayu.

Masalah kewangan dan pembiayaan juga jadi kekangan. Untuk makluman, yuran ke­seluruhan bagi program ACCA bagi lepasan SPM adalah sebanyak RM150,000 manakala bagi lepasan diploma pula adalah sebanyak RM70,000.

Semestinya bagi mereka daripada keluarga yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi, mereka tiada masalah untuk membiayai dalam pengajian ini tetapi bagaimana pula dengan mereka daripada golongan miskin dan asnaf.

Anak orang miskin ramai yang pandai, mereka tinggal di kampung dengan tiada tuisyen tetapi boleh lulus dengan cemerlang. Mereka tiada peluang dan kami di MyPAC akan membantu mereka.

Apakah langkah yang diambil oleh MyPAC?
Kami memberi tumpuan untuk membangunkan pelajar dan graduan daripada keluarga asnaf dan juga B40, jadi kami telah bekerjasama dengan beberapa pusat zakat dan juga syarikat korporat yang akan menaja perbelanjaan pelajar yang sedang belajar dalam pusat latihan perakaunan yang diiktiraf MyPAC.

Setiap pelajar itu akan dibiayai sepenuhnya melalui pembayaran yuran peperiksaan dan tuisyen, elaun bulanan antara RM700 hingga RM1,000 sebulan, diberi tempat tinggal, malah ada penaja yang menyumbang komputer riba kepada.

Mereka cuma belajar sahaja dan apa yang penting adalah mereka tidak perlu bayar balik duit pembiayaan pelajaran tersebut kerana ini bukan PTPTN.

Model pengoperasian kami berbeza daripada yang lain kerana dana bukan datangnya daripada kerajaan tetapi daripada duit zakat dan juga badan korporat.

Memandangkan ia melibatkan duit zakat, jadi kami perlu patuh kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Badan Penasihat Syariah. Selain itu, badan korporat percaya bahawa sekiranya mereka membiayaipelajaran pelajar berpotensi itu akan membolehkan pelajar tersebut selepas tamat pengajian diambil bekerja sebagai akauntan di syarikat mereka.

Jika tidak membayar balik duit pengajian tersebut, apa yang perlu dilakukan graduan untuk membalas jasa MyPAC?

Kami galakkan graduan ‘membayar’ balik duit tersebut dengan dua cara iaitu jaga ibu bapa masing-masing kerana tanpa mereka, anda tidak akan sampai ke tahap ini dan tanpa pengorbanan mereka, pelajar tidak akan berjaya sampai hingga ke peringkat sekarang.

Kedua adalah mereka digalakkan untuk menjadi mentor kepada adik-adik yang sedang belajar dalam bidang ini.

Memandangkan mereka sudah lulus peperiksaan jadi ini adalah masanya bagi mereka untuk membantu memberi tips kepada pelajar lain cara untuk menjawab kertas soalan peperiksaan. Lakukan perkara ini secara sukarela.

Kami suka anjurkan program mentoring ini untuk membolehkan mereka beri balik kepada masyarakat kerana berpegang kepada konsep ‘orang tolong kita dan kita tolong orang lain pula’.

Untuk tujuan tersebut, kami telah menubuhkan Kelab Akauntan MyPAC yang mana graduan boleh menyertai kelab ini untuk mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Menjadikan ia sebagai satu platform untuk meneruskan usaha membangunkan pengetahuan kerana pekerjaan dalam bidang ini sentiasa dipertingkat seiring dengan trend semasa.

Ini bermakna selesai tamat pengajian, mereka boleh berhenti belajar tetapi dalam perakaunan, pembelajarannya perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Apakah pencapaian MyPAC sehingga kini?
Sejak tahun 2015 hingga tahun ini iaitu dalam tempoh sembilan tahun, kami telah lahirkan sehingga 1,110 akauntan bertauliah.

Ini adalah bukti kejayaan kami untuk melahirkan lebih ramai akauntan bumiputera pada masa depan kerana kami memiliki ekosistem yang betul dan berkualiti.

Bagaimana cara memohon masuk ke pusat latihan yang diiktiraf MyPAC untuk mengambil ACCA atau ICAEW?
Kemasukan dibuat satu kali setahun, bagi lepasan SPM yang mencapai 5A. Jika mereka mendapat A dalam subjek Prinsip Akaun jadi kuranglah satu kertas yang akan diambil dalam pengajian mereka.

Bakal pelajar akan perlu menduduki ujian dan temuduga terma­suk dinilai pendapatan keluarga masing-masing.

Ada juga pengambilan dibuat kepada lepasan Ijazah yang mengambil jurusan perakaunan sahaja. Pada tahun ini, ada lebih 100 pelajar telah diambil dan sedang mengikuti pengajian masing-masing di pusat latihan yang diiktiraf MyPAC.

Kebanyakan mereka adalah lepasan ijazah. Kebanyakan syarikat korporat, mereka lebih suka menaja pelajar lepasan ijazah kerana mereka mahu melihat keputusan dalam tempoh pantas iaitu dua tahun sahaja selain kos pembiayaan­nya juga agak murah.

Mereka perlu tinggal di pusat latihan untuk tempoh selama 12 hingga 18 bulan untuk belajar dan menduduki peperiksaan. Peperiksaan itu sama yang akan diduduki oleh semua.

Ke­biasaannya seramai 400,000 orang di seluruh dunia akan menduduki peperiksaan tersebut dan ia dijadualkan sebanyak empat kali setahun iaitu bulan Mac, Jun, September dan Disember. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI