PETALING JAYA – Minat berbakti kepada masyarakat melalui penawaran perkhidmatan dalam bidang penjagaan kesihatan dan kesejahteraan telah mendorong seorang profesional serta ahli farmasi bergerak aktif membuka rangkaian farmasinya yang kini telah mencecah kepada 35 cawangan di seluruh negara.
Pengasas Eagle Cliffe (M) Sdn. Bhd., Nor Hazalina Ibrahim yang membuka empayar farmasi di bawah jenama Kaisar Pharmacy berkonsepkan farmasi komuniti bermula tahun 2013 itu mahu membantu masyarakat dengan menawarkan perkhidmatan farmaseutikal yang berkualiti.
Anak kelahiran Kedah ini memiliki pengalaman yang meluas dalam bidang tersebut sejak memulakan kariernya di Eagle Cliffe Pharmacy di Middlesborough, England sejak tahun 2006 hingga 2009.
Wanita ini pulang ke tanah air dan meneruskan kerjayanya di Hospital Selayang, Hospital Kuala Lumpur dan Agensi Perkhidmatan Farmasi Nasional (NPRA) sebagai Penolong Pengarah antara tahun 2010 hingga 2013.
“Sejak awal kerjaya sebagai ahli farmasi, saya sedar bahawa akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan berkualiti adalah aspek penting dalam penjagaan kesihatan masyarakat.
“Saya mendapat idea untuk menceburi perniagaan ini di tanah air setelah melihat fungsi farmasi komuniti di luar negara bukan sahaja menjadi tempat untuk membeli ubat, tetapi juga sebagai pusat rujukan kesihatan.
“Ahli farmasi dilihat sebagai barisan hadapan yang memberikan nasihat, kesedaran dan membantu orang ramai menjaga kesihatan mereka.
“Saya percaya bahawa farmasi yang berperanan sebagai pusat kesihatan boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat, terutamanya dalam membantu mereka membuat keputusan kesihatan yang lebih bijak,” katanya dalam satu temubual melalui emel di sini baru-baru ini.
Melalui pengembangan perniagaan yang berjaya membuka sembilan cawangan baharunya pada tahun ini menjadikan 35 cawangan di sekitar Lembah Klang, Perak dan Negeri Sembilan, usahawan yang mempunyai Sarjana Muda Farmasi dari University of Sunderland, United Kingdom itu telah menerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022.
Mengulas lanjut beliau menerangkan, Kaisar Pharmacy kini menawarkan lebih daripada 20,000 produk kesihatan yang meliputi pelbagai kategori termasuk ubat terkawal, produk over-the-counter, peranti perubatan, keperluan penjagaan diri, barangan penjagaan bayi dan ibu, suplemen kesihatan umum serta ubat-ubatan herba tradisional.
“Kami juga mempunyai lebih daripada 100 produk di bawah jenama sendiri iaitu VitalSign (alat perubatan), De Vital (suplemen kesihatan), Kaisar Junior (barangan bayi dan ibu) dan De Venus (kosmetik).
“Misi kami adalah menyediakan produk kesihatan berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan kepada komuniti, di samping menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, tahap glukosa dan kolesterol dalam darah, analisis perubatan serta program ganjaran untuk pelanggan setia,” jelasnya.
Nor Hazalina yang dibesarkan dalam keluarga berniaga sejak kecil memandangkan ibubapanya berkecimpung dalam bidang tersebut bersemangat untuk mengukuhkan lagi asas perniagaannya dalam persekitaran yang mencabar kini setelah mendapat sokongan baik daripada ahli keluarganya.
“Penglibatan mereka dalam dunia perniagaan telah memberi saya banyak pandangan berguna tentang bagaimana untuk mengendalikan perniagaan dengan lebih berkesan, terutamanya dari segi pengurusan dan strategi,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Kaisar Pharmacy kini semakin aktif mempromosikan produk jualan di platform media sosial bertujuan untuk menambah hasil jualan.
Pihaknya mahu meningkatkan variasi produk dan sesi live dalam platform e-dagang untuk memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik dan meningkatkan interaksi serta akses yang lebih luas
“Kami juga terlibat dalam banyak program kesihatan di komuniti setempat dan membuat pemantauan penyakit kronik untuk mendidik masyarakat tentang pencegahan dan pengurusan penyakit.
“Kami juga bakal menganjurkan kempen kesedaran kesihatan untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya penjagaan kesihatan dan penggunaan produk yang tepat.
“Kami juga mahu menambah kualiti perkhidmatan yang memfokuskan kepada usaha untuk menambah baik pengalaman pelanggan melalui maklum balas dan penglibatan aktif dengan pelanggan,” ujarnya
Beliau menghargai usaha Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas) yang membantu syarikatnya dengan suntikan Pelaburan Dana Asas telah berjaya memperluaskan operasi Kaisar Pharmacy untuk membuka cawangan baharu serta mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan sekali gus dapat meningkatkan capaian lebih ramai pelanggan.
“Dengan sokongan dana, Kaisar Pharmacy juga dapat memperbaiki infrastruktur dan teknologi yang digunakan dalam operasi harian, termasuk sistem pengurusan inventori dan platform digital.
‘Syarikat juga boleh melabur dalam latihan dan pembangunan ahli farmasi dan kakitangannya selain membolehkan syarikat melaksanakan strategi pemasaran lebih efektif untuk menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada,” ujarnya sambil menambah prestasi kewangan juga kini semakin kukuh. -KOSMO! ONLINE