fbpx

Nor Siti Hajar jadikan Sheikh Mishary sebagai ikon kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Siti Hajar merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Pengajian Hadis Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

CITA-CITA murni ingin menjadi pensyarah atau guru dalam bidang agama Islam telah tersemat dalam diri gadis ini sejak di bangku sekolah.

Menurut pelajar tahun akhir Ijazah Pengajian Hadis Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) di Desa Petaling, Kuala Lumpur, Nor Siti Hajar Abdul Mutalib, 25, cita-cita tersebut dipengaruhi oleh kedua-dua ibu bapanya yang bertugas sebagai guru agama di kampungnya di Bintulu, Sarawak.

“Dari kecil, saya memang didedahkan dengan pengajian agama Islam hasil didikan ibu bapa sehingga akhirnya saya menjadi seorang qariah dan banyak menyertai tilawah,” katanya ketika ditemui di MEDIU baru-baru ini.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah, dia telah menamatkan kursus asas pada tahun 2019 dengan penguasaan subjek Bahasa Arab, Akidah dan Pengajian Islam.

Nor Siti Hajar yang pernah bercita-cita menjadi doktor berkata, hasrat untuk belajar ke peringkat lebih tinggi dalam bidang agama telah dipupuk ketika dia aktif menyertai pertandingan berkaitan tilawah al-Quran.

“Saya menyertai pertandingan Qiraat Sab’ah Bit Tarannum mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan dan mendapat hadiah sagu hati. Sebelum itu di peringkat negeri, saya menjadi johan pertandingan tersebut.

“Walaupun tidak menang, namun ia adalah pertandingan dan pendedahan yang memberi saya semangat untuk terus mengajar dan belajar ilmu al-Quran dengan lebih mendalam,” katanya.

Nor Siti Hajar berkata, sebagai seorang muslimah, mempelajari al-Quran dari aspek bacaan, menguasai tajwid dan tafsiran patut dilakukan sejak usia muda.

Dia yang mengajar iqra dan al-Quran secara atas talian berkata, dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang semakin canggih, urusan pembelajaran semakin mudah.

“Kelas ini melibatkan kumpulan kecil sahaja iaitu seramai lima orang pelajar sekolah.

“Selain menambah pendapatan, saya bersyukur sangat kerana dapat berkongsi ilmu agama dan tilawah kepada generasi muda,” katanya.

Sebagai seorang pencinta al-Quran, Nor Siti Hajar berkata, minatnya lebih kepada bacaan Sheikh Mishary Rashid Al-Afasy yang merupakan qari terkenal dari Kuwait.

NOR SITI HAJAR aktif dalam pelbagai program di MEDIU.

Jelasnya lagi, alunan bacaan Sheikh Mishary selalu didengari sebagai rujukan dan panduan bacaan kaedah taranum, nahawand dan soba’ yang mendayu-dayu.

“Itulah ikon saya dalam kehidupan seharian sebagai seorang pelajar bidang hadis.

“Bukan saya tidak mendengar muzik cuma sekadar halwa telinga pada waktu terluang,” katanya.

Nor Siti Hajar berkata, walaupun Sarawak mempunyai makanan istimewa seperti mi kolok dan ikan terubuk masin, namun ia hanya dinikmati ketika kembali pulang ke Bintulu setiap cuti semester.

“Apa yang penting, makanan yang sihat dan tidur sebagai rehat terbaik untuk diri saya sebagai seorang warga MEDIU.

“Saya menghadapi kelas dari pukul 9 pagi hingga pukul 4 petang setiap hari. Apabila ada peluang, saya akan berehat sambil menonton ‘konten’ di dunia maya,” ujarnya.

Prinsip hidup Nor Siti Hajar yang meminati sukan badminton amat mudah, jika tidak mahu minda terganggu dengan pandangan negatif netizen, sebaiknya jangan komen pada isu yang tiada manfaat untuk diri sendiri.

Jelasnya, wira papan kekunci suka memberi komen hingga menimbulkan buli siber dan dirinya memilih untuk tidak melayan sebarang isu sensitif.

“Sebaiknya, dunia maya yang penuh maklumat dijadikan wadah menuntut ilmu dan membina persahabatan berdasarkan keikhlasan.

“Jika membuat hantaran gambar di media sosial, saya akan menggunakan ‘filter’ bagi menghindarkan penyakit ain atau pandangan manusia,” jelasnya.

Gadis yang sudah lima tahun menuntut ilmu di MEDIU itu memberitahu, universiti tersebut bukan sahaja memberi ilmu kepada dirinya, malah mengajar erti kehidupan.

Jelasnya, MEDIU membuka peluang kepadanya untuk mengenali masyarakat dan budaya dari seluruh pelusuk dunia.

“Saya sendiri tidak menyangka akan menyambung pengajian di universiti yang memiliki pelajar dari bumi Arab dan benua Afrika.

“Kami belajar dalam kelas akademik dan turut berkongsi budaya masing-masing atas dasar kesatuan ummah Islamiah,” jelasnya sebelum mengakhiri wawancara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI