BOURNEMOUTH – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola enggan menjadikan faktor kecederaan sebagai alasan utama kekalahan mengejut 1-2 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality malam kelmarin.
Kekalahan tersebut pastinya sukar diterima oleh City kerana ia secara tidak langsung menamatkan rekod hebat juara bertahan itu yang sebelum ini tidak tewas dalam 32 perlawanan EPL berturut-turut sejak 6 Disember tahun lalu.
Ia sekali gus menyaksikan City jatuh ke tangga kedua dan ketinggalan dua mata di belakang pencabar utama, Liverpool yang bangkit meledak dua gol dalam tempoh tiga minit untuk menewaskan Brighton 2-1 malam kelmarin.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Cumanya kalau pemain-pemain ini tidak mengalami kecederaan, kami akan menang perlawanan ini kerana tiada sesiapa dapat menjangkakannya.
“Mereka telah berikan segala-galanya tetapi masih belum cukup untuk bersaing dengan pasukan seperti ini (Bournemouth).
“Kami tidak mampu menyaingi intensiti mereka dan tewas hantaran bola jauh. Malangnya kami hilang rentak disebabkan pemain tidak dapat berlatih kerana masalah kecederaan,” kata Guardiola.
City terlebih dahulu ketinggalan dua gol kepada Bournemouth menerusi Antoine Semenyo dan Evanilson sebelum bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Josko Gvardiol.
Bagaimanapun, ia sudah terlewat untuk menghalang City mencatat kekalahan kedua berturut-turut daripada dua aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan selepas tewas kepada Tottenham Hotspur pada pusingan keempat Piala Liga Inggeris minggu lalu.
Difahamkan, City cuma ada 11 pemain senior yang benar-benar cergas dan kini berdepan satu lagi tugas getir untuk aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Sporting Lisbon awal pagi Rabu ini. – AGENSI