TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai melakukan khianat dengan menconteng jambatan besi kereta api di Kampung Bahagia di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan oleh angggota Unit Rondaan Bermotor (URB) ketika sedang melakukan perbuatan tersebut sekitar pukul 10 malam.
Katanya, sebanyak empat tong cat pelbagai warna dirampas ketika tangkapan dijalankan ke atas suspek.
“Hasil soal siasat awal, lelaki itu mengaku menconteng dengan lukisan bercorak di atas laluan jambatan berkenaan.
“Berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan, suspek yang memiliki lapan rekod jenayah lampau dari tahun 2012 hingga 2022 itu positif dadah jenis ganja,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Adnan, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat kepada harta benda awam.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk cadangan pertuduhan sebaik sahaja siasatan yang dijalankan terhadap suspek lengkap,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE