KUALA LUMPUR – Polis sudah merampas seterika yang juga barang kes digunakan dalam kes buli dan mencederakan seorang pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan lanjut turut dilakukan dengan merakam keterangan seramai 16 individu setakat hari ini.
“Antara 16 orang yang dirakam keterangan adalah pengadu, suspek, pegawai kadet , kakitangan, jurulatih dan pegawai perubatan.
“Polis telah merampas seterika yang dipercayai digunakan terhadap mangsa,” katanya ringkas hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan polis telah merakam keterangan suspek iaitu penuntut senior yang didakwa membuli dan mendera seorang pegawai kadet UPNM pada 22 Oktober lalu.
Tindakan itu dijalankan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Selain itu, pihak polis juga merakam keterangan rakan sebilik mangsa untuk tindakan selanjutnya.
22 Oktober lalu,seorang pegawai kadet UPNM ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa berusia 20 tahun.
Rakaman percakapan mangsa telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan beliau juga diminta untuk membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya.
Sebelum ini, Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior.-KOSMO! ONLINE