WASHINGTON – Twitter telah memutuskan untuk menggantung akaun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara kekal kelmarin dengan menyatakan pemimpin itu terlalu bahaya untuk menggunakan platform media sosial.
Langkah itu diambil selepas syarikat berkenaan melakukan satu ‘penilaian teliti’ perkongsian Twitter menerusi akaun @realDonaldTrump.
“Kami telah menggantung secara kekal akaun berkenaan disebabkan risiko lanjutan menghasut keganasan,” kata Twitter.
Tindakan itu memberi tamparan kepada Presiden pada hari-hari terakhir beliau sebelum meninggalkan pejabat pentadbiran. Trump mempunyai seramai 88.7 juta pengikut di Twitter.
Pendekatan itu juga boleh memberi tamparan kepada anggota Parti Republikan itu jika beliau mahu kembali semula ke arena politik pada 2024.
Trump sempat memuat naik satu mesej terakhir yang menyatakan beliau tidak akan hadir pada majlis angkat sumpah Joe Biden sebagai Presiden AS baharu pada 20 Januari ini sebelum akaunnya disekat.
Trump mengaku kalah pada Khamis lalu dan menasihatkan penyokongnya agar bertenang, sehari selepas meminta mereka berarak ke bangunan Capitol. Perarakan itu bertukar ganas dan meragut lima nyawa.
“Satu pelantikan pentadbiran baharu akan diadakan pada 20 Januari ini. Fokus saya ialah memastikan peralihan kuasa secara lancar dan tersusun,” kata Trump dalam satu video.
Selepas akaunnya disekat, Trump menggunakan akaun rasmi @POTUS untuk menuduh Twitter melakukan satu cubaan ‘menutup mulutnya’.
“Twitter telah bertindak dan menyekat kebebasan bersuara dan malam ini, kakitangan Twitter membuat koordinasi dengan Demokrat dan Radikal Kiri untuk memadamkan akaun saya daripada platform mereka, untuk menutup mulut saya dan kamu iaitu 75,000,000 patriot hebat yang mengundi saya,” katanya.
Perkongsian itu kemudian dipadamkan Twitter. Twitter juga menggantung akaun kempen Trump, @TeamTrump.
Selepas Presiden disenyapkan, anaknya iaitu Donald Trump Jr. menggunakan Twitter dan menyifatkan langkah platform itu sebagai ‘kegilaan sepenuhnya’.
Twitter dalam satu perkongsian blog menyatakan penggantungan itu dibuat atas beberapa faktor seperti bukti ada rancangan masa depan untuk protes bersenjata ‘termasuk satu cadangan serangan kedua ke atas bangunan Capitol dan negeri pada 17 Januari 2021’.
Biden akan mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu pada 20 Januari ini dengan kawalan keselamatan ketat. – AFP