LONDON – Skuad Arsenal mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas Newcastle United melakar kemenangan mengejut 1-0 sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium St. James Park itu, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta membariskan kesebelasan terbaik dengan Leandro Trossard, Kai Havertz dan Bukayo Saka mengetuai jentera serangan.
Namun, pasukan tuan rumah dilihat tampil lebih garang pada awal saingan dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang sensasi, Aleksander Isak pada minit ke-12.
Tersentak dengan gol tersebut, Arsenal memperkemaskan jentera serangan dan berusaha untuk memburu gol penyamaan tetapi tandukan Saka pada minit ke-18 sedikit tersasar.
Arsenal sekali lagi meraih peluang terbaik hasil sepakan Mikel Merino pada penghujung babak pertama namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Newcastle, Nick Pope.
Bersambung pada babak kedua, skuad pelawat semakin terdesak untuk mencari gol dengan Arteta membuat penggantian apabila memasukkan Ethan Nwaneri dan Oleksandr Zinchenko.
Namun, benteng Newcastle kendalian Eddie Howe terus kebal mengekang asakan Arsenal dengan keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE