fbpx

Terjunan ‘berdarah’ Ooi Tze Liang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE LIANG diusung ke tepi kolam untuk diberikan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital.

KUALA LUMPUR – Malang menimpa penerjun berpengalaman negara, Ooi Tze Liang apabila mengalami kecederaan ketika beraksi dalam acara final 3 meter (m) papan anjal lelaki pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2024.

Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini, atlet berusia 31 tahun itu mengalami luka di kepala apabila terhantuk papan anjal ketika sedang melakukan terjunan kedua.

Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), Andy Low mengakui insiden tersebut sangat mengejutkan, namun pihaknya perlu menunggu laporan daripada doktor berhubung tahap kecederaan dialami Tze Liang.

“Itu satu kemalangan yang tidak dapat diduga dan tidak tahu apa keadaan sebenar. Kita ada pasukan perubatan di sini dan terus hantar dia ke hospital terdekat, jadi harap kecederaannya tidak teruk.

“Saya tidak boleh komen terlalu banyak kerana perlu tunggu laporan doktor. Dia akan buat pemeriksaan selain melakukan imbasan untuk lihat jika ada apa-apa masalah pada kepalanya,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara tersebut.

Sementara itu, Andy turut memberitahu pihaknya akan memberikan sepenuh bantuan kepada Tze Liang, terutamanya dari segi sokongan moral bagi memastikan atlet berkenaan kembali lebih bersemangat.

“Insiden ini memang akan ganggu dia dari segi psikologi. Kita memang akan bantu dia menerusi pegawai ISN (Institut Sukan Negara) untuk bina semula semangat bagi kejohanan akan datang,” ujarnya.

SYAFIQ (kiri) bersama Tavener (tengah) dan Stone pada majli penyampaian hadiah.

Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Muhammad Syafiq Puteh memenangi pingat perak selepas muncul naib juara menerusi catatan 337.80 mata keseluruhan hasil enam terjunan yang dilakukan.

Pingat emas menjadi milik penerjun New Zealand, Frazer Tavener yang mengutip 340.05 mata keseluruhan manakala gangsa dimenangi rakan sepasukannya, Liam Stone selepas mencatat 333.85 mata.

Dalam acara 10m platform individu wanita, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menepati ramalan apabila meraih pingat emas selepas mengutip 252.80 mata keseluruhan mengenepikan atlet Jepun, Karen Yamasaki di tempat kedua (218.30).

Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun Singapura, Megan Yow yang mencatat mata keseluruhan 208.10. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI