SEBERANG PERAI – Pakatan Harapan (PH) meneruskan kerjasama dengan UMNO – Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah melihat kemungkinan dalam beberapa pilihan raya baru ini sukar bagi mana-mana parti untuk menguasai majoriti yang agak selesa bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Kalaupun ada kemungkinan, majoriti itu terlalu kecil dan tidak menyebabkan kerajaan itu stabil. Sejak dua tahun lalu, Malaysia dianggap di antara negeri paling stabil dalam tahun ini (hasil kerjasama PH-BN) yang menyebabkan negara luar memberikan perhatian.
“Saya fikir, wajar kita cari jalan untuk teruskan kerjasama antara PH-BN, itu yang utamanya,” katanya ketika sesi soal jawab menerusi Program Sesi Temu Bersama Anwar di Karnival GEN-AI: Generasi Ada Idea di Jalan Baru, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan bakal memperkenalkan undang-undang yang lebih tegas untuk menangani isu buli siber yang semakin berleluasa dalam sidang Parlimen akan datang.- KOSMO! ONLINE