PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga emas tetap setia menunggu isterinya yang sedang menerima rawatan di wad setiap hari tidak kira siang dan malam, mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.
Gambar lelaki tersebut yang sedang menemani isterinya di wad hospital tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pengguna TikTok@puteryintan sekali gus menerima pujian daripada orang ramai yang kagum terhadap pasangan warga emas itu.
“Aku sendiri nak menangis tengok pak cik ni tunggu isteri dia. Setia betul tunggu isteri dia siang malam. Boleh tak kalau nak macam ni juga tua nanti.
“Jururawat minta dia tunggu di luar sebab nak periksa ECG pun dia masih cuba tengok dari luar macam tu.
“Alahai pak cik saya cemburu betul dengan mak cik. Saya doakan mak cik diberikan kesihatan berpanjangan supaya pak cik dan mak cik dapat sama-sama macam selalu,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mendoakan pasangan tersebut dan ada juga memuji keutuhan cinta mereka.
“Cinta orang dulu memang lain daripada yang lain. Saling lengkap melengkapi, terima apa adanya kat pasangan. Tak macam orang zaman sekarang. Ada kekurangan sikit kata tak sekufu,” komen seorang pengguna TikTok.
“Orang dulu bercinta tersangat lah tulus ya. Sekarang je mcm hmm… Kita pun takut nak ambil risiko kalau nak kenal-kenal dengan seseorang,” ujar yang lain. – KOSMO! ONLINE