fbpx

Kemuncak perang retorik Trump, Harris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMENANGAN antara Trump dan Harris dikatakan bergantung kepada pengundi di tujuh negeri ‘swing states’. – AFP

WASHINGTON – Naib Presiden Kamala Harris dan saingan terdekat, Donald Trump memperhebatkan kritikan terhadap satu sama lain pada hari-hari terakhir berkempen sebelum rakyat Amerika Syarikat(AS) keluar mengundi Selasa ini.

Trump dikecam hebat kerana mengeluarkan kenyataan dicemari ‘retorik ganas’ terhadap seorang wakil rakyat partinya sendiri, Parti Republikan. Wakil rakyat itu menyelar Trump kerana melakukan provokasi terhadap Harris.

Dalam perkembangan lain, lebih 70 juta rakyat AS telah melaksanakan tanggungjawab mereka lebih awal, merangkumi 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi menjelang pilihan raya PresidenAS pada 5 November ini.

Siri tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan persaingan antara Trump dan Harris adalah terlalu sengit.

Bagaimanapun, kemenangan dalam pilihan raya kali ini banyak bergantung kepada calon yang mendominasi sokongan di tujuh negeri ‘atas pagar’ kerana pengundinya kerap berubah fikiran sama ada mahu menyokong calon Presiden AS daripada Parti Demokrat ataupun Republikan.

Tujuh negeri dikenali sebagai ‘swing states’ itu terdiri daripada Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, Carolina Utara, Pennsylvania dan Wisconsin.

Harris yang mewakili Parti Demokrat dan Trump daripada Parti Republikan, masing-masing menghadiri perhimpunan kempen di Wisconsin dan jirannya, negeri Michigan.

Kelmarin, kedua-dua mereka berkempen pula di Milwaukee di mana Trump berkata: “Saya tidak mahukan wang anda(rakyat), saya mahu undi anda!”

Bekas presiden itu berucap di tempat sama di mana beliau memenangi pencalonan Parti Republikan pada musim panas lalu dan memberikan ucapan penerimaan, hanya beberapa hari selepas terselamat daripada cubaan bunuh oleh seorang pemuda bersenjata di negeri Pennsylvania.

Harris hanya menyertai perlumbaan merebut jawatan Presiden AS pada Julai lalu selepas Presiden Joe Biden menarik diri daripada bertanding di tengah-tengah kebimbangan mengenai ketajaman mentalnya yang semakin merosot.

Penyanyi rap popular, Cardi B dalam salah satu kempen Harris bercakap tentang Amerika Syarikat yang bakal ditadbir oleh Presiden wanita pertama. Dia bertanya kepada orang ramai menghadiri kempen Harris seraya berkata: “Adakah kita bersedia untuk mencipta sejarah?”

Terdahulu, Harris menegur Trump kerana membuat kenyataan berbaur ‘retorik ganas’ dengan menyentuh tentang penggunaan raifal terhadap pengkritiknya daripada parti Republikan. Liz Cheney.

“Sesiapa yang menggunakan retorik ganas seperti ini jelas hilang kelayakan dan tidak layak untuk menjadi Presiden AS,” kata Harris.

Trump mengkritik Liz yang merupakan anak perempuan bekas naib presiden AS , Dick Cheney tentang dasar luarnya.

“Beliau (Liz) seorang ‘penggila’ perang. Mudah baginya bercakap tentang peperangan tetapi dia sendiri takut untuk mengangkat senjata. Dia berani bercakap kerana berada jauh dari lokasi kematian(perang). Cuba hulurkan raifal ke mukanya dan minta dia pergi berperang. Dia akan menjawab tidak, terimakasih sahaja,” kata Trump dalam komen yang mencetuskan kontroversi di Amerika.

Pada Khamis lalu di Arizona, Trump mendakwa tanpa mengemukakan bukti bahawa berlaku penipuan dalam tinjauan pendapat di Pennsylvania sekali gus mengukuhkan jangkaan awal bahawa, seperti pilihan raya pada tahun 2020, Trump enggan menerima keputusan jika mengalami kekalahan di negeri itu.

Menambah lagi ketegangan menjelang Pilihan Raya Presiden AS kali ini ialah apabila media sosial dibanjiri dengan maklumat salah yang didakwa oleh pihak berkuasa telah digerakkan oleh Russia dan diperkuatkan oleh suara sayap kanan terkenal termasuk sekutu Trump iaitu manusia paling kaya di dunia, Elon Musk.

Kebanyakan usaha Musk adalah didakwa melibatkan pendustaan ​​tentang pengundi bukan warganegara AS.

Kelmarin, Trump berkempen di Dearborn, Michigan yang menempatkan komuniti Arab-Amerika terbesar di AS di mana kemarahan terhadap perang Israel di Semenanjung Gaza telah menjauhkan ramai penduduk Islam daripada Parti Demokrat. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN