fbpx

SuperKIP patah tangan selepas rempuh Helmi Azman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL Idham Pawi akan menjalani pembedahan segera selepas terlibat dalam insiden kemalangan di Sepang hari ini. GAMBAR - MIE Racing

SEPANG – Malang menimpa pelumba wildcard negara, Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman dalam sesi kelayakan Moto2 pada Grand Prix (GP) Malaysia selepas kedua-dua pelumba muda negara itu terlibat dalam insiden kemalangan pada penghujung perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebentar tadi.

Pada sesi kelayakan pertama tersebut, Helmi dan Khairul yang bersaing bersama pasukan Petronas MIE Racing RW itu sedang berjuang untuk merekodkan catatan masa terbaik bagi menempah petak grid pada perlumbaan sebenar esok.

Namun, pada penghujung perlumbaan, Helmi dilihat hilang kawalan ketika mengambil selekoh lapan sebelum Khairul yang berada rapat di belakangnya tidak sempat mengelak dan berlaku rempuhan yang akhirnya menyebabkan mereka berdua terjatuh.

Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua pelumba tersebut di bawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati hanya Helmi dapat meneruskan perlumbaan manakala Khairul yang terkenal dengan gelaran SuperKIP tidak dapat bersaing esok kerana mengalami kecederaan serius patah tangan dan cedera di kaki kiri.

PELUMBA pasukan Petronas MIE Racing RW, Khairul Idham Pawi yang bersaing dalam kelas Moto2. GAMBAR – AMIR KHALID

Pengurus pasukan Petronas MIE Racing RW, Razmin Masli Abdul Razak berkata, tiada pelumba gantian yang akan mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan SuperKIP.

“Mujur Helmi tidak ditimpa sebarang kecederaan, jadi dia boleh meneruskan perlumbaan esok,” katanya.

Sementara itu, pemilik MIE Racing, Midori Moriwaki ketika ditemui pula berharap, Helmi dapat memberikan yang terbaik untuk perlumbaan sebenar dan dia bakal menjadi fokus peminat tempatan yang hadir ke SIC.

“Saya tahu dia teruja untuk berlumba dan saya yakin Helmi akan memberikan yang terbaik demi Jalur Gemilang dan juga penaja, Petronas,” ujarnya.

Sementara itu, pelumba American Racing Team, Jorge Navarro akan memulakan perlumbaan di petak pertama dengan catatan masa sepusingan 2:04.412s, manakala, rakan sepasukannya, Marcos Ramirez di tempat kedua (2:04.475s) dan Celestino Vietti dari Red Bull KTM Ajo di kedudukan ketiga (2:04.559s). -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI