LISBON – Penggempur utama Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres menafikan khabar angin mengatakan dia bakal mengikut jejak bekas jurulatihnya, Ruben Amorim menyertai Manchester United pada Januari nanti.
Gyokeres, 26, merupakan salah seorang penyerang terbaik di Eropah ketika ini disebabkan prestasinya yang memukau termasuk meledak empat gol membantu Sporting membelasah Estrela 5-1 dalam aksi Liga Primeira Portugal awal pagi semalam.
Kecemerlangan penyerang Sweden itu membuatkan para peminat United mula menaruh harapan agar dia berhijrah ke Old Trafford selepas ini, menyertai Amorim yang kini sah dilantik sebagai pengurus baharu The Red Devils.
Legenda United, Rio Ferdinand turut menggesa pihak pengurusan tertinggi United untuk ‘memecahkan tabung’ mereka dengan membeli Gyokeres yang dianggarkan bernilai antara £50 juta (RM283.07 juta) hingga £58 juta (RM328.38 juta) pada Januari ini.
Bagaimanapun, Gyokeres menafikan spekulasi tersebut dengan mendedahkan bahawa dia masih berminat untuk terus menyarung jersi juara Portugal itu.
“Sertai Amorim di Manchester United? Saya tidak tahu apa-apa mengenainya. Seperti anda dapat lihat, saya masih di sini dan saya gembira bermain untuk Sporting.
“Saya langsung tidak fikir apa-apa (berhijrah ke United). Benar memang sedih beliau (Amorim) pergi (ke United) dan saya harap yang terbaik buatnya,” kata Gyokeres.
Selain United, dua lagi gergasi Liga Perdana Inggeris iaitu Arsenal dan Chelsea antara yang masih menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Gyokeres. – AGENSI