fbpx

Anwar tidak halang siasat Khazanah, Nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kanan) hadir pada Majlis Perasmian HPPK2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali menghalang siasatan yang dijalankan terhadap Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) ketika ini.

Menurutnya, beliau tidak akan berkompromi sekiranya terbukti wujud sebarang salah laku dalam Khazanah mesikupun syarikat itu dipengerusikan olehnya sendiri.

“Sama ada kes itu dulu…ini kes dahulu. Tapi, kes sekarang pun jika ada, laporkan sama ada kepada Perdana Menteri, pengerusi dan sebagainya. Saya tidak halang siasatan.

“Kalau salah, siasat. Kalau salah, dakwa. Kalau salah, hukum. Saya tidak peduli. (Dengan cara ini) barulah kita boleh perintah dengan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvokesyen PICCA, Butterworth Arena di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor kini sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Difahamkan, siasatan itu dijalankan susulan jumlah kerugian yang direkodkan oleh kedua-dua agensi berkaitan kerajaan berkenaan itu terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memberitahu, beliau juga tidak akan mengganggu siasatan yang dijalankan terhadap Nafas berikutan penggantungan perlembagaan pertubuhan berkenaan ketika ini.

“Sekarang heboh pasal Nafas. Walaupun ia badan yang bebas tapi ia di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Itu terpulang kepada siasatan.

“Apa yang kita nak, yang ambil, yang dapat baja, benih ini semua…kita nak supaya harga patut. Yang import, cara betul. Itu sahaja. Saya dah lama marah pada kartel ini. Kartel ini, ada kelompok kecil ‘jaga’ dia, bukan jaga rakyat. jadi kena faham mengapa siasatan dilakukan.

“Siapa saja tanpa kecuali. Ada kes, SPRM masuk. Kalau kes jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk. Tak kira dia jawatan apa, pangkat apa, syarikat kerajaan ke syarikat swasta,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI