KUALA LUMPUR – Polis membongkarkan kegiatan sebuah premis medan selera menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) yang baru sehari beroperasi di Jalan Pasar Baru, di sini, semalam.
Serbuan Op Noda #KLStrikeForce yang bermula pukul 5.40 petang itu berjaya menahan 27 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai GRO.
Modus operandi yang dikesan adalah premis berkenaan menutup pintu utama dan menjadikan pintu belakang untuk beroperasi secara rahsia.
Pelbagai cubaan melarikan diri dikesan apabila sepasukan polis menyerbu premis berkenaan antaranya menggunakan laluan tikus di dalam tanda serta menyorok di bawah singki serta almari.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, seramai 29 individu berusia lingkungan 24 hingga 67 tahun telah ditahan
Katanya, daripada jumlah itu, 27 wanita iaitu 16 warga Vietnam dan 11 China disyaki GRO, manakala dua lelaki termasuk seorang tempatan masing-masing berperanan sebagai penjaga premis dan pekerja.
“Polis telah merampas gelang, kipas pelbagai warna yang dijadikan sebagai tip bernilai RM10 hingga RM150 selain pelbagai peralatan muzik.
“Selain itu, semakan mendapati premis dipercayai beroperasi tanpa lesen,” katanya.
Tambah Rusdi, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992. – KOSMO! ONLINE.