fbpx

Ketua Audit Negara diberi kuasa audit akaun 1,856 badan, GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jabatan Audit Negara. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Ketua Audit Negara diberi kuasa menjalankan pengauditan terhadap akaun 1,856 badan lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan ( GLC) berkuat kuasa semalam.

Perkara itu berdasarkan Perintah Audit (Akaun Badan Lain) (Pindaan) 2024 [P.U.(A) 331/2024] yang diwartakan pada 31 Oktober lalu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan Audit Negara (JAN) dalam kenyataan berkata, jumlah diwartakan ini meningkat lebih sekali ganda berbanding 925 badan lain untuk pengauditan termasuk syarikat diwartakan pada tahun 2022.

Badan-badan termasuk syarikat itu adalah yang memenuhi kriteria di bawah subperenggan 5(1)(d)(i), (ii) dan (iii) Akta Audit 1957 [Akta 62].

“Sejajar dengan Perintah Audit yang dikuatkuasakan ini, Garis Panduan berhubung pelaksanaan pengauditan syarikat GLC ini sedang dibangunkan oleh Jabatan Audit Negara dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 7A Akta 62 yang memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan sebagaimana perlu atau suai manfaat bagi maksud menjalankan peruntukan di bawah Akta 62,” katanya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Belanjawan 2025 mengumumkan JAN diberikan peranan lebih besar untuk memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan kerajaan.

Seterusnya semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) pada 22 Oktober lalu di Parlimen, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya Ketua Audit Negara melakukan pengauditan terhadap GLC untuk memastikan syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI