fbpx

Liga Super: TFC akhiri kemarau kemenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Ubaidullah (kiri) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukannya, Muhammad Akram Mahinan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan yang berlarutan sejak lapan perlawanan lalu dengan kemenangan tipis 1-0 dengan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Pemain pertahanan, Ubaidullah Shamsul Fazili muncul wira apabila tandukannnya menerjah gawang skuad Harimau Kumbang pada minit ke-27.

Kemenangan itu membolehkan skuad Sang Penyu kekal di tangga keempat dengan 21 mata, manakala Penang terus terperosok di kedudukan ketiga tercorot liga.

Tuan rumah bermula garang menyaksikan percubaan jarak jauh Safwan Mazlan pada minit ke-15 mula menguji kubu pelawat.

Peluang terbaik TFC menjelma minit ke-19 menerusi ketua pasukan, Manuel Ott yang menerima umpanan Azam Azmi Murad namun tolakan pemain Filipina itu dihalang A. Namathevan.

Gol dicari-cari skuad Sang Penyu akhirnya terhasil selepas Ubaidullah bijak menanduk kemas bola hantaran Azam Azmi dari sebelah kanan untuk memecahkan kebuntuan minit ke-27.

Pintu gol TFC nyaris bocor menuju rehat mujur sepakan leret pemain sayap Penang FC, Nabil Ahmad Latpi (m-41) hasil gerakan Dylan Wenzel Halls mudah dibaca penjaga gol tuan rumah.

Bersambung babak kedua, kemasukan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid tidak banyak meningkatkan tempo permainan TFC sebaliknya Penang FC kembali dalam permainan.

Hasrat skuad Harimau Kumbang mengikat kedudukan tidak kesampaian apabila percubaan Syamer Kutty Abba minit ke-55 dan Rodrigo Dias minit ke-63 tidak menepati sasaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI