SEPANG – Perlumbaan pusingan penutup tirai Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2024 yang dijadual berlangsung di Grand Prix (GP) Valencia pada 15 hingga 17 November ini sah dibatalkan akibat banjir besar hingga menyebabkan kemusnahan besar serta meragut sekurang-kurangnya 205 nyawa.
Penganjur MotoGP mengesahkan keputusan tersebut hari ini dengan mendedahkan bahawa lokasi baharu untuk menganjurkan perlumbaan akhir itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Langkah yang diputuskan MotoGP turut mendapat sokongan ramai pelumba utama MotoGP terutama pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, Jorge Martin (Pramac) dan juga Marc Marquez (Gresini) yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap situasi buruk di Valencia dan meminta perlumbaan tersebut dipindahkan ke tempat lain.
Bencana banjir tersebut telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran di beberapa bandar sekitar Valencia dengan kerosakan pada kereta, jambatan dan jalan-jalan dipenuhi lumpur.
Situasi itu menyaksikan Dorna selaku pemegang hak penganjuran perlumbaan berprestij itu perlu mencari venue baharu menganjurkan aksi final tersebut.
“Selepas melakukan pertimbangan dengan teliti terutama impak perlumbaan MotoGP di Valencia sama ada membabitkan penundaan berbanding memastikan tiada satu pun sumber dialihkan daripada usaha pemulihan dengan kehadiran MotoGP, kejuaraan dan pihak berkuasa tempatan memutuskan membatalkan GP Valencia 2024.” kata Dorna menerusi kenyataan rasmi hari ini.
Biarpun, terdapat desas-desus mengaitkan Malaysia antara tempat untuk menggantikan perlumbaan di Valencia, namun difahamkan perkara tersebut tidak berada dalam senarai perbincangan Dorna. -KOSMO! ONLINE