DIPUJA sebagai selebriti dan dalam masa sama menjunjung tinggi status sebagai isteri dan ibu, Ummi Nazeera sebenarnya sangat berhati-hati jika bercakap tentang ruang privasi, terutama ketika dunia hiburan asyik bersilang kisah cerai-berai anak seni.
Disuakan persoalan tentang banyak pergaduhan dan perang media sosial pasangan terkenal, Ummi tetap ada pegangan.
Katanya, pasangan yang memilih jalan cerai tidak perlu saling memburukkan antara satu sama lain atau membuka aib masing-masing.
Kata Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 34, meskipun perceraian bukan satu hal yang mudah, tetapi jangan menjadikan kegagalan mengekalkan kebahagiaan mahligai cinta dengan menuding jari antara satu sama lain.
“Bagi mereka yang hendak berpisah, semoga kalian berada dalam keadaan yang harmoni. Doakan semoga perpisahan itu merupakan jalan yang terbaik untuk masing-masing,” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, pelakon filem Bisik Pada Langit itu enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan perceraian dalam kalangan selebriti dianggap sebagai satu trend masa kini.
“Harap maaf, perkara itu saya tidak mahu komen sebab saya sendiri pun berumah tangga. Kalau boleh saya tidak mahu bercakap lebih mengenai perkara ini kerana bimbang akan terkena penyakit ain (hasad dengki) atau apa saja.
“Tetapi saya mendoakan yang terbaik buat mereka yang sudah berpisah atau sedang dalam keadaan ingin berpisah,” katanya yang kini muncul dengan naskhah Andai Tiada Dia.
Menterjemahkan watak sebagai seorang isteri teraniaya bernama Suri, Ummi sebenarnya berdepan galau emosi apabila buat julung kali melalui kemarau rumah tangga yang musnah gara-gara adik kandung sendiri.
Drama
Kata Ummi, meskipun sebelum ini pernah memegang peranan sebagai isteri tersakiti, namun drama Andai Tiada Dia siaran Astro Ria tersebut memberikan pengalaman berbeza apabila karakter Suri jelas bertentangan dengan diri.
Bukan itu saja, Ummi bahkan perlu melakonkan watak tersebut sambil mendukung seorang bayi sepanjang 36 episod drama tersebut.
“Ini merupakan watak pertama saya ‘disondol’ oleh saudara sendiri. Dalam drama ini juga melibatkan saya berlakon dengan bayi bermula daripada episod satu hingga 36.
“Bayangkan selalunya jika berlakon saya hanya fokus kepada diri sendiri dan tidak perlu memikul beban. Tetapi, ini agak berbeza apabila setiap hari saya perlu mendukung bayi sehingga berasa sengal-sengal dan lenguh badan.
“Bukan sahaja perlu membawa bayi, tetapi saya juga perlu membawa banyak benda dalam satu masa. Jadi itu juga memberi cabaran kepada emosi, mental serta kekuatan fizikal untuk menjiwai watak,” terangnya panjang lebar.
Mengulas lanjut mengenai drama berkenaan, pemilik nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin mengakui berasa selesa dan mudah bekerjasama dengan regu gandingan, Hisyam Hamid dan Mimi Lana.
Meskipun pertama kali disatukan dalam drama, Ummi tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerja dengan Hisyam.
“Saya dan Hisyam sudah lama saling mengenali, cuma dia belum berkesempatan untuk menjadi hero saya.
“Pernah sebelum ini ada tawaran, tetapi atas sebab tertentu kami bertemu jodoh. Jadi untuk mendapatkan keserasian itu bukan sesuatu yang sukar untuk kami,” ujarnya.
Suami jadi pelakon
Selain bercakap tentang kerjaya, Ummi turut ditebak tentang keterbukaan jika suaminya, Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani turut ‘terjebak’ sebagai pelakon.
Terang Ummi, mereka tidak pernah membincangkan tentang perkara itu. Malah, dia juga tidak pernah menghalang hasrat Mohd. Izzar sekiranya ingin menjadi pelakon.
“Saya tidak tahu sama ada dia ingin menjadi pelakon atau tidak kerana terus terang perkara itu tidak pernah kami bincangkan.
“Kalau betul dia minat, saya tidak halang lagipun kami saling tidak mengawal antara satu sama lain. Sekiranya dia melihat berlakon itu sesuatu yang bagus dan baik untuk keluarga serta anak-anak, itu terpulang.
“Ini kerana sebelum berkahwin kami sudah saling menerima antara satu sama lain, iaitu dia sebagai doktor dan saya pula pelakon.
“Jadi apabila ada perubahan yang ingin dibuat selepas kahwin, perubahan itu perlu dinilai sama ada mendatangkan kebaikan atau keburukan kepada keluarga,” ujar ibu kepada Ayra Aneesah, 6, dan Aysha Arsylia, 3, optimis.
Bagaimanapun, Ummi yakin bahawa Mohd. Izzar yang dinikahi sejak 2017 itu tidak mungkin akan mengubah lapangan kerjaya dari perubatan ke pentas lakonan.