JOHOR BAHRU – Akibat gagal bayar baki hutang berjumlah hampir RM250,000, syarikat Unclezam Holdings Bhd. milik Norizam Tukiman yang lebih dikenali sebagai Zamsaham bakal berdepan proses penyitaan.
Pengarah Nita Sahari Properties Sdn. Bhd., Juwita Mohd. Sahari berkata, jumlah itu merupakan baki daripada keseluruhan RM999,675.60 pelaburan ke dalam syarikat Unclezam Holdings pada 2021.
Beliau berkata, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah memerintahkan agar Norizam yang juga pemilik kelab bola sepak Kelantan FC melangsaikan tuntutan berkenaan setelah mengesahkan hak syarikat untuk mendapatkan kembali jumlah, pada 8 Mei tahun lalu.
Selain daripada jumlah yang disebutkan, katanya, mahkamah juga memerintahkan Zamsaham untuk membayar faedah pada kadar 5 peratus setahun serta kos guaman sebanyak RM1,500, mengambil kira kerugian yang dialami akibat kelewatan dalam pembayaran.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa Unclezam Holdings perlu membayar kepada saya sebanyak RM249,675.60. Jumlah ini merupakan baki daripada jumlah keseluruhan RM999,675.60 (pelaburan) yang telah saya bayar kepada mereka.
“Pembayaran ini berkaitan dengan urusan yang telah disetujui sebelum ini, dan penghakiman mengesahkan hak saya untuk mendapatkan kembali jumlah terbabit,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Pada April 2021, Juwita dilaporkan bersetuju membuat pelaburan berjumlah RM999,675.60 ke dalam syarikat Unclezam Holdings milik Norizam, namun menarik diri selepas beberapa bulan kerana syarat pelaburan tidak dipatuhi. – KOSMO! ONLINE