GEORGE TOWN – Tanda tanya mengenai kedudukan Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Rakhli hari ini terjawab apabila khidmatnya untuk kekal mengemudi pasukan itu telahpun berakhir sekali gus menoktahkan segala spekulasi yang timbul sejak dua minggu lalu.
Menerusi kenyataan Lembaga Pengarah Penang FC Sdn. Bhd. di Facebook hari ini, satu Mesyuarat Lembaga Pengarah telahpun ditetapkan dan diadakan lebih awal pada 21 Oktober lalu bagi membincangkan hala tuju selanjutnya berhubung dengan pengurusan pasukan Penang FC.
“Susulan daripada mesyuarat lembaga pengarah tersebut, satu keputusan telah dibuat untuk menggantikan jurulatih utama pasukan Liga Super Penang FC dengan jurulatih yang lebih berpengalaman dalam Liga Super bagi meningkatkan prestasi serta persaingan pasukan Liga Super Penang FC.
“Usaha dan dedikasi Akmal Rizal adalah amat dihargai dan memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama dengan Penang FC, beliau akan dikekalkan bagi meneraju pasukan lain di bawah Penang FC,” katanya di sini petang tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, terdapat beberapa calon jurulatih utama yang telah dikenal pasti oleh pihak Lembaga Pengarah dan perbincangan bagi memuktamadkan kontrak telahpun bermula sejak 21 Oktober lalu.
“Ketua jurulatih yang baharu akan diumumkan sejurus selepas perkara dalam kontrak dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Berikutan dengan keputusan tersebut, pihak kelab telah memaklumkan perkara tersebut kepada pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) dan telah menerima kelulusan berhubung situasi interim ini.
“Pasukan Liga Super Penang FC kini secara interim akan dikendalikan oleh Penolong Ketua Jurulatih, Mat Saiful Mohamad dan dibantu Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak,” jelasnya
lagi.
Beritahunya lagi, Lembaga Pengarah mengharapkan para pemain akan memberikan sokongan yang penuh kepada Mat Saiful dan Merzagua.
“Lembaga Pengarah Penang FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sokongan Penyokong Penang FC. Sokongan anda pada saat ini amatlah dihargai,” tambahnya.
Baru-baru ini, kecoh di laman sosial berhubung kedudukan Akmal Rizal dengan pasukan bimbingannya itu yang didakwa telah digantikan oleh Merzagua untuk tempoh seketika, yang juga bekas pemain dan berasal dari Maghribi.
Khabar angin mengenai status anak jati dari Jitra, Kedah itu menjadi semakin bertiup kencang apabila tiada kelibatnya pada perlawanan Liga Super bertemu Sabah FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pada 25 Oktober lalu. Pada aksi bertemu Sang Badak itu, Penang FC sekali lagi tewas 0-4.
Pada 20 Oktober lalu, Penang FC sekali lagi tewas 0-1 dengan pasukan Sri Pahang FC pada saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Pada separuh musim ini, Penang FC hanya mampu meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan dengan satu daripadanya semasa bertemu Kelantan United 3-0 di laman sendiri, lebih dua bulan lalu.
Malam ini, skuad Harimau Kumbang itu akan bertemu pasukan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. – KOSMO! ONLINE