PUTRAJAYA – Seramai 11 rakyat Malaysia yang menjadi sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Sihanoukville, Kemboja berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Penghantaran pulang itu dilaksanakan Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh.
Wisma Putra berkata, salah seorang daripada mereka telah pulang ke Malaysia pada 25 Oktober lalu, manakala baki 10 orang lagi dijadualkan tiba di negara ini pada hari ini.
“Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja atas kerjasama dan bantuan mereka dalam menyelamatkan dan memfasilitasi kepulangan mangsa ke Malaysia.
“Kementerian meningkatkan usaha untuk menangani isu warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wisma Puta turut mengingatkan rakyat Malaysia yang berminat mencari pekerjaan di luar negara agar berhati-hati dan memastikan kesahihan pekerjaan yang ditawarkan.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen semasa berada di luar negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE