JOHOR BAHRU – Seramai 51 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam operasi bersepadu yang dijalankan di tiga daerah pada Isnin dan Selasa lalu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam serbuan di Batu Pahat bermula pukul 3.30 petang hingga 11 malam, Isnin lalu, pihaknya memberkas seramai 10 warga asing.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita Myanmar, seorang lelaki Pakistan, seorang lelaki Bangladesh serta seorang wanita Indonesia berusia 22 hingga 40 tahun.
“Operasi dilakukan susulan aduan orang awam berhubung kehadiran warga asing dipercayai bekerja tanpa pas dan permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut ditahan dua majikan tempatan yang juga pemilik premis kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) selain diberikan notis hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan berasingan, JIM memberkas seramai 18 warga asing kerana bekerja tanpa permit di kilang cetak dan kilang jahit pakaian di Taman Mewah, di sini.
JIM Johor turut menyerbu tujuh restoran di Iskandar Puteri kira-kira pukul 9 malam kerana menggaji pekerja tanpa permit dan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, seterusnya menahan 33 warga asing berusia 21 hingga 41 tahun. – KOSMO! ONLINE