KULIM – Seorang lelaki ditahan kelmarin selepas memecah masuk rumah bekas majikannya yang merupakan seorang jurutera pada Mac tahun lalu.
Lelaki berusia 28 tahun itu dan berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu ditangkap pada pukul 10.30 malam di Jalan Bukit Awi di sini berhubung kes pecah rumah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek bekerja dengan mangsa sebagai pemandu peribadi selama sebulan sebelum berhenti selepas kejadian pecah rumah tersebut.
Jenayah itu terbongkar selepas suspek yang ditahan mengaku memecah masuk rumah majikannya.
“Mangsa mengambil suspek bekerja sebagai pemandu peribadinya pada tahun lalu tanpa menyiasat latar belakang lelaki tersebut.
“Kejadian pecah rumah itu berlaku semasa suspek masih bekerja dengan majikannya iaitu pada 11 Mac 2020,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, kejadian jenayah itu disedari oleh mangsa sebaik dia sampai di rumahnya di Taman Sri Pinang pada pukul 6.30 petang.
Lelaki itu terkejut apabila mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak dan mendapati pintu belakang diumpil
Beberapa barangan seperti telefon pintar jenis iPhone 6 Plus, sebentuk cincin emas, lapan jam tangan dan wang tunai RM7,000 lesap.
Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama tanpa mengesyaki penglibatan sesiapa.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan terlibat dalam kes curi sarang burung pada tahun lalu.
Beliau turut menasihatkan individu atau syarikat supaya menyemak latar belakang seseorang sebelum diambil bekerja bagi mengelak kejadian sama.-K! ONLINE