JAKARTA – Satu rakaman video tular di Medan, wilayah Sumatera Utara menunjukkan seorang ibu menangis melihat kubur anaknya rosak akibat diceroboh, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6.45 pagi (waktu tempatan) di Tanah Perkuburan Pinang Baris pada 25 Oktober lalu.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Instagram oleh akaun @ceritamedancom, wanita itu menziarahi kubur bersama suaminya.
Dia menangis teresak-esak selepas mendapati batu nisan pada kubur tersebut dicabut dan pecah.
“Saya dan isteri menziarah kubur anak kami tetapi yang kami jumpa adalah batu nisan terpisah dan pecah.
“Padahal, kubur arwah berada dalam keadaan baik pada malam sebelumnya,” tambah si suami.
Rakaman itu mencatatkan lebih 66,100 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
“Semakin ‘lain’ Medan ini,” sindir seorang netizen.
“Sudah meninggal dunia pun masih diganggu, memang tidak ada akal,” marah netizen lain. – AGENSI