KUALA LUMPUR – Ratu balapan Jerman, Alica Schmidt dijangka menjalani latihan bersama skuad olahraga kebangsaan April tahun depan menerusi kerjasama antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Olahraga Jerman (GAA).
Pengerusi GAA, Idriss Gonschinska berkata, pakar 400 meter (m) itu sah akan bersama skuad olahraga Jerman menjalani latihan selama empat minggu di Stadium Merdeka sebagai persediaan ke Kejohanan Olahraga Berganti-Ganti Dunia di Guangzhou, China Mei tahun depan.
Beliau menjelaskan, Malaysia menjadi pilihan skuad Jerman untuk melakukan persiapan kerana memiliki sejarah menjalani latihan bersama sebelum ini selain tertarik dengan bakat dimiliki atlet-atlet kebangsaan.
“Kami berada dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Berganti-Ganti Dunia dan juga Kejohanan Olahraga Dunia (September 2025). Oleh itu, kami akan bawa skuad Jerman ke sini buat kali pertama.
“Alica Schmidt pun akan datang ke sini nanti dan sudah tentu akan ‘bawa’ pengikutnya bersama. Selain itu, Gina Lueckenkemper yang merupakan salah seorang pelari pecut terbaik kami juga akan datang,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang pernah melatih legenda 400m lari berpagar negara, Noraseela Khalid berharap kedua-dua pihak mampu memanfaatkan sepenuhnya kerjasama bersejarah tersebut.
Gonschinska turut menepis dakwaan yang mengatakan sukan olahraga Malaysia masih jauh jika dibandingkan dengan pasukan Eropah itu apabila menganggap atlet-atlet Asia Tenggara memiliki kelebihan tersendiri.
“Saya tidak fikir begitu (Jerman lebih hebat) kerana Malaysia pernah ada atlet-atlet seperti Noraseela. Bagi saya, ini adalah situasi menang-menang kerana kami memang cari peluang untuk buat kerjasama antarabangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE