NEW DELHI – Seorang lelaki ditahan di Mumbai selepas membuat ugutan bunuh terhadap bintang Bollywood, Salman Khan bagi menuntut sejumlah wang tebusan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Polis Mumbai berkata, pihaknya menerima mesej ugutan tanpa disertakan nama pengirim yang mengancam untuk membunuh pelakon tersebut.
Pegawai polis Mumbai, Azam Mohammad berkata, suspek turut meminta wang tebusan sebanyak 20 juta rupee (RM1.04 juta) daripada pihak polis.
“Suspek ditahan kelmarin. Ia merupakan penahanan kedua dalam kes ini,” tambah Azam.
Awal minggu ini, seorang pelukis tatu berumur 20 tahun ditahan selepas membuat ugutan serupa kepada Salman Khan dan ahli politik negeri Maharashtra, Zeeshan Siddique. – AGENSI