MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya skuad kendaliannya berdepan aksi sukar bagi memastikan kemenangan ketika berdepan Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality malam ini.
Ia berikutan The Citizens berdepan krisis kecederaan, termasuk kapten, Kevin De Bruyne, sekali gus menyaksikan City terus tempang di bahagian tengah padang, ditambah pula ketiadaan Rodri yang turut cedera.
Justeru, pengendali dari Sepanyol itu mengharapkan ada perkembangan positif dan boleh menggunakan khidmat De Bruyne bagi mencerahkan peluang mereka mengutip tiga mata bertemu The Cherries.
“Jika boleh, saya mahu beritahu anda semua bilakah dia (De Bruyne) akan kembali, tetapi buat masa sekarang saya tidak tahu tarikh tepat. Ketika ini De Bruyne sudah menyertai latihan ringan.
“Bagaimanapun, untuk bermain di tahap tinggi seperti diharapkan, dia masih berasa sakit dengan kecederaan itu. Saya hanya akan turunkan Kevin sekiranya dia benar-benar cergas sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Guardiola yang mengakui pasukannya kini hanya memiliki 13 pemain cergas berharap pemain-pemainnya akan pulih sepenuhnya selepas rehat antarabangsa 11 hingga 19 November ini.
“Pasukan ini akan berdepan kesukaran sekiranya pemain-pemain terus diketepikan. Kami memerlukan barisan pemain utama untuk kembali, namun ia tidak mungkin berlaku sebelum rehat antarabangsa,” ujarnya. – AGENSI