fbpx

Pecco beri amaran buru petak utama di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELUMBA Ducati, Francesco Bagnaia cemerlang ketika sesi latihan bebas di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID

SEPANG – Pelumba Itali, Francesco Bagnaia yang dalam misi melengkapkan gelaran dunia hatrik Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) mempamerkan tunggangan cukup menyakinkan selepas mendominasi hari pertama aksi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebentar tadi.

Bagnaia yang menjuarai Grand Prix Thailand minggu lalu kini turun di Sepang dengan misi cukup besar untuk muncul juara selepas ketinggalan 17 mata dibelakang seteru utamanya, Jorge Martin (Pramac).

Justeru, Bagnaia perlu mengurangkan kesilapan dan mendapatkan pelarasan cukup sempurna untuk memburu petak utama dalam perlumbaan sebenar pada Ahad nanti bagi membolehkannya mengheret pertarungan akhir gelaran dunia di Valencia.

Pada sesi kelayakan tersebut, Bagnaia mengekalkan momentum terbaiknya dalam kelas perdana itu apabila menguasai sesi latihan pertama (FP1) sebelah pagi dan turut cemerlang sesi FP2 sebentar tadi selepas melakar masa sepusingan terpantas satu minit 57.679 saat (s) dan mengatasi pencabar gelaran, Martin dengan kelebihan 0.050s.

“Saya tahu sebelum tiba di sini (Sepang), Jorge (Martin) sangat kuat, jadi saya perlu pastikan jentera saya dalam keadaan baik. Kalau tidak menang sekalipun kedudukan tempat kedua tetap menjadi sasaran saya,” katanya yang pernah menang di GP Malaysia pada 2021.

Bagnaia tidak boleh melakukan kesilapan kerana Martin mampu menjulang gelaran dunia MotoGP di Sepang sekiranya Bagnaia sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dalam perlumbaan ‘sprint’ atau perlumbaan sebenar pada Ahad nanti.

AKSI pelumba pasukan Pramac Racing, Jorge Martin sebelum memasuki trek bagi sesi latihan di Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID.

Martin yang berazam untuk melakar kemenangan di Sepang tidak bermula baik sesi latihan sebelah pagi apabila sekadar mencatat keputusan enam terpantas dengan catatan masa dua minit 0.442s.

Pada sebelah petang, Martin berjaya bangkit mendapatkan keputusan terbaik tetapi pada penghujung sesi FP2, pelumba Sepanyol tersebut terjatuh di selekoh pertama ketika melakukan pusingan terakhir sekali gus akur mencatat masa kedua terpantas.  Martin bernasib baik kerana dia dilaporkan tidak mengambil sebarang kecederaan serius.

Pemenang GP Malaysia tahun lalu, Enea Bastianini yang juga rakan sepasukan Pecco melengkapkan aksinya di tempat ketiga dengan catatan masa sepusingan 1:57.877s.

Menghuni kedudukan keempat, pelumba Aprilia Racing, Maverick Vinales yang mencipta masa sepusingan 1:58.141s, manakala, tempat kelima menjadi milik pelumba Gresini Racing MotoGP, Alex Marquez menerusi catatan masa 1:58.296s.

Aksi kelayakan akan bermula pada 10.50 pagi esok dan selepas itu pelumba MotoGP akan memberi tumpuan kepada  perlumbaan ‘sprint’ yang berlangsung pada pukul 3 petang nanti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI