SEPANG – Perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2024 menghampiri kemuncaknya dan tumpuan kini terarah kepada perebutan gelaran dunia antara Jorge Martin (Pramac) dan Francesco Bagnaia (Ducati).
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi medan pertarungan kedua-dua pelumba tersebut dengan Martin berpeluang untuk menjulang gelaran dunia tanpa mengheret pertempuran pada perlumbaan penutup tirai di Valencia menerusi kelebihan 17 mata dimiliki.
Secara matematik, hanya 74 mata yang tinggal untuk direbut musim ini, termasuk 37 mata yang dipertaruhkan hujung minggu ini di Sepang dan Martin memerlukan sekurang-kurangnya 38 mata untuk menjamin gelaran juara tanpa perlu ke Valencia.
Untuk merealisasikannya, Martin perlu memenangi kedua-dua perlumbaan di Sepang iaitu Sprint pada pentang nanti dan perlumbaan sebenar pada Ahad yang akan memberinya keseluruhan 37 mata.
Namun ia bersyarat apabila Martin perlu berharap Bagnaia hanya mampu menamatkan kedua-dua perlumbaan di kedudukan kelima atau lebih rendah untuk membolehkannya secara automatiknya dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP 2024.
Bagi Martin, dia kini lebih matang dan bersedia memberikan sehabis baik untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya.
“Saya yakin dan ia satu penghormatan untuk berada di sini bersama Pecco. Saya mempercayai usaha saya dan saya akan berjuang hingga ke akhirnya dengan segala yang saya ada untuk pasukan, orang-orang saya dan diri saya sendiri.
“Saya rasa tahun lalu saya sangat tertekan dan gementar. Saya berasa banyak tekanan dan tahun ini tekanan itu masih ada, tetapi saya rasa lebih matang dan semalam, saya dapat menikmati saat-saat ini.
“Saya tahu saya boleh kalah, tetapi saya juga tahu saya boleh menang. Tahun lalu, saya kehilangan gelaran, jadi saya akan memberikan 100 peratus usaha hujung minggu ini,” kata Martin.
Bagnaia yang berjaya mengurangkan jurang berbanding Martin sebanyak lima mata sewaktu GP Thailand minggu lalu bersedia untuk mengambil risiko di Sepang.
“Ia adalah hujung minggu yang penting dan kami perlu bermula dengan sebaik mungkin. Dalam perebutan gelaran, saya perlu mengambil risiko lebih berbanding Jorge (Martin). Dia boleh lebih tenang kerana mempunyai kelebihan mata dan boleh memilih untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua,” ujar Bagnaia.