fbpx

37 pengunjung restoran dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seramai 37 pelanggan sebuah restoran minuman keras tidak berlesen di Seksyen 19 di sini semalam dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mereka yang dikenakan kompaun terbabit terdiri daripada pelanggan lelaki dan wanita berusia antara 20 hingga 56 tahun.

Menurut beliau, kesemua pelanggan terbabit sedang leka berhibur dan minum arak dalam beberapa bilik di premis tersebut semasa pemeriksaan dilakukan pihak polis.

“Pemeriksaan polis kira-kira pukul 8.50 malam ke atas premis tersebut mendapati terdapat seramai 87 orang termasuk pekerja berada dalam premis berkenaan.

“Pengurus premis itu iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun gagal mengemukakan lesen pusat hiburan yang sah dan tidak mempunyai lesen menjual minuman keras ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas sebanyak 23 botol arak pelbagai jenama, peralatan audio, enam keping ‘cash bill’, wang tunai RM4,250 dalam pemeriksaan berkenaan.

Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6 (1) Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998.

Tambah beliau, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Perbuatan Cuai Yang Mungkin Merebakkan Jangkitan Apa-Apa Penyakit Berbahaya Kepada Nyawa).

Katanya, polis Petaling Jaya memberi amaran keras kepada individu yang ingkar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya tidak berkumpul dan berhibur semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang masih ingkar kepada arahan ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI