TOLAK tepi kisah perceraian beberapa pasangan selebriti yang ketika ini rancak menjadi bahan bualan ramai.
HibGlam minggu ini menghidangkan pembaca dengan kisah empat selebriti tanah air yang berhijrah ke arah agama dan menjadi inspirasi kepada ramai individu di luar sana.
Bukan satu perjalanan mudah buat mereka, namun semangat dan usaha keras berjaya meletakkan mereka sebagai artis yang mula mendapat kepercayaan ramai dalam terus menyebarkan ilmu agama.
Lisa Surihani
LISA Surihani, seorang lagi selebriti wanita yang ramai menjadikannya sebagai inspirasi ketika ini.
Tidak berubah secara mendadak, rata-rata berpendapat, penghijrahan Lisa antara menjadi pencetus ramai individu lain untuk lebih mendalami ilmu agama.
Busana yang dipakainya juga sering meraih pujian kerana kekal dengan prinsipnya iaitu tidak berlebihan dalam berfesyen sebagai seorang wanita bertudung.
Lisa bagaimanapun pernah menegaskan, dia bukanlah ustazah yang layak untuk memberikan komen mengenai hal-hal berkaitan agama.
Dia juga antara selebriti tanah air yang sering hadir ke kelas agama malah tidak malu mengaku masih merangkak mendalami ilmu agama.
Nora Danish
JIKA disenaraikan hijrah artis yang paling banyak meraih pujian, Nora Danish layak untuk berada di kedudukan teratas.
Manakan tidak, penghijrahannya selepas bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Nedim Nazri mendamaikan hati banyak pihak.
Penghijrahan aktres itu dikatakan tidak terlalu berlebih-lebihan atau sengaja mengundang perhatian ramai.
Perubahan pelakon yang cukup dikenali menerusi sitkom Puteri itu juga turut memberi inspirasi kepada ramai wanita di luar sana untuk berubah menjadi Muslimah lebih baik tanpa memerlukan sebarang kontroversi atau isu panas.
Caranya menguruskan krisis pasca perceraiannya juga meraih pujian kerana tidak membuka aib mana-mana pihak sehingga hari ini.
Neelofa
KISAH penghijrahan yang paling sensasi dan menuai perhatian ramai pastinya menjadi milik Neelofa.
Memilih untuk berniqab beberapa bulan sebelum berkahwin dengan Haris Ismail turut membuatkan ramai mempersoal tindakannya ketika itu.
Satu perjalanan yang tidak mudah, pelbagai tohmahan dan fitnah dilalui ibu kepada dua anak itu untuk berada di posisinya sekarang.
Sehingga hari ini, hijrahnya dan istiqamah Neelofa terus menjadi inspirasi ramai wanita di luar sana terutama yang mahu mula berubah secara total terutama dari segi penampilan.
Meski suami seorang pendakwah bebas, dia turut aktif hadir ke kelas-kelas agama bagi memantapkan lagi ilmu pengetahuan sedia ada.
Saharul Rizwan
KEKAL istiqamah dengan penghijrahannya sejak beberapa tahun lalu, Saharul Ridzwan kini memilih untuk berehat dari dunia lakonan dan memberi fokus mendalami bidang agama.
Pelakon yang terkenal menerusi drama Hati Perempuan itu turut menyertai jemaah tabligh yang dilihat sebagai satu usaha mengajak orang ramai kembali kepada jalan Allah dan menegakkan syiar Islam.
Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon sekiranya diberikan peluang, namun harus bergantung kepada jenis naskhah.
Pada Februari lalu, dia turut menjual kereta jenama mewah Mercedez Benz dan sebuah kediaman miliknya di Cyberjaya.
Keputusan itu dilakukan kerana gusar memikirkan kediaman tersebut dibiayai pinjaman konvensional yang berpaut dengan amalan riba.