PETALING JAYA- Lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia yang bermula Selasa ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, berkata, cuaca buruk tersebut akan berterusan sehingga Mac tahun depan.
Katanya, semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember depan, manakala episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Manakala pada Januari hingga Februari tahun depan pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hujan lebat yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akan menyebabkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Dalam pada itu, sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Mengulas lanjut, fasa akhir MTL iaitu Januari hingga depan, kawasan utara Semenanjung dijangka mengalami kurang hujan.
“Keadaan ini dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering dengan potensi gelombang haba, namun tidak seteruk tahun 2024 berikutan fenomena La Nina yang dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun depan.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” katanya.
Layaran laman sesawang www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi MET Malaysia dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE