fbpx

Kes buli UPNM: Ini mesti dihentikan, naya anak-anak – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika program Temu Anwar di UPNM hari ini. - Foto oleh IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan siasatan kepada pihak polis berhubung kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi yang didakwa menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.

“Itu urusan polis. Saya bagi nasihat secara umum jangan berlaku di sekolah, sekolah menengah, maahad tahfiz, sekolah Cina, semua dan ini kena dihentikan.

“Guru besar, pengetua, naib canselor, pengetua kolej juga perlu bertanggungjawab untuk melihat bagaimana untuk menghentikan budaya buruk ini kerana terlalu banyak aduan.

“Yang dapat tahu itu apabila kebetulan terbongkar di media sosial, tetapi ini mesti dihentikan, naya anak-anak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis Temu Anwar di UPNM, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Dalam majlis berkenaan, Anwar berkata, budaya buli di universiti dan pusat pendidikan perlu dihentikan segera, sekali gus menegaskan tiada tolak ansur sekiranya berlaku perkara sedemikian.

Katanya, budaya dan amalan membuli kekal wujud ekoran ada pihak yang bersikap permisif dan mengalah terhadap perbuatan berkenaan.

“Ia kelompok kecil, bukan mewakili keseluruhan mahasiswa tapi budaya itu mengizinkan iaitu budaya samseng, buli, gengster dalam sistem pendidikan di sekolah kebangsaan, Cina, Tamil, maahad tahfiz dan sekolah agama.

“Ini adalah kegilaan. Kita bercakap soal ilmu, ritual, akhlak dan nilai. Kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia.

“Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan. Ini cabaran bagi setiap pimpinan naib canselor, profesor dan pensyarah termasuk saya dan menteri,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang Pegawai Kadet ALK UPNM, dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.

Pegawai kadet itu dipercayai didera menggunakan seterika yang ditekap pada dadanya sehingga meninggalkan kesan lecur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI