KUALA LUMPUR – Kerjasama yang terjalin antara syarikat amanah, Rakyat Trustee Berhad (RTB) dengan Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) dan juga sebuah syarikat hartanah, TT Gratia Group bakal meningkatkan keyakinan koperasi, komuniti pelabur malah individu yang telah melabur untuk sebuah projek hartanah di Melaka.
Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din berkata, ini adalah usaha sama sulung syarikat bersama Nusa Kapital yang merupakan penyedia platform pembiayaan antara-rakan-setara atau peer to peer (P2P) patuh syariah pertama di negara malah di dunia.
Ia memiliki rekod sejarah yang baik dengan melibatkan pelbagai jenis pembiayaan projek utama.
Menurut beliau, pemeteraian kerjasama ini akan melibatkan dana sebanyak RM50 juta dan RTB akan menjadi pemegang amanah bagi dana tersebut untuk memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian yang dimeterai malah memantau tadbir urus Nusa Kapital dan juga TT Gratia bagi melindungi pelabur sekali gus kepada para pembeli projek tersebut.
“Kami akan memastikan dana pelabur dilindungi dan juga memberi manfaat kepada mereka.
“Pelaburan melalui platform Nusa Kapital yang berpengalaman luas juga akan kami pantau.
“Kami juga akan memastikan segala transaksi dalam projek ini berlaku di bawah pemantauan RTB.
“Ini kerana terlalu banyak pelabur di negara ini yang terlibat dalam kes-kes yang mana mereka silap membuat pemilihan terbaik dalam aktiviti pelaburan mereka. Mereka begitu teruja melabur semata-mata untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.
“Memandangkan pelabur selalunya tiada pengetahuan meluas mengenai pelaburan jadi sekiranya mereka melabur dalam platform yang disediakan oleh Nusa Kapital dan RTB pula menjadi pemegang amanah kepada dana tersebut jadi mereka tidak perlu bimbang terhadap wang pelaburan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara RTB dengan Nusa Kapital dan juga TT Gratia di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi RTB, Datuk Zazali Haron, Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican dan Pengarah Urusan TT Gratia, Tan Wei Joon.
Selain itu, Izmi menerangkan, sebelum memberi penerangan tentang potensi projek tersebut kepada pelabur, pihaknya telah memastikan bahawa syarikat TT Gratia memenuhi standard yang diperlukan dan keupayaan syarikat untuk membayar semula dana yang digunakan.
“Kami akan menilai rekod sejarah syarikat, kekuatan dan juga pulangan yang dijangkakan, tempoh masa pulangan tersebut boleh dimanfaat pelabur serta pelbagai perkara lain yang menjadi keutamaan
“Kami juga perlu pastikan kepentingan pelabur daripada semua aspek dan sekali gus menjaga kepentingan pembeli projek hartanah tersebut.
“Sebagai sebuah platform pembiayaan, kami akan membuat pemantauan bukan sahaja pada peringkat awal tetapi juga sehingga selesai disiapkan, malah kami juga boleh membuat analisa daripada perjanjian yang ditandatangani pembeli bagi memastikan projek tersebut mengikut garis panduan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE