MADRID – Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min dikenal pasti oleh Real Madrid sebagai pemain buruan mereka untuk dibawa ke Santiago Bernebeu.
Heung-min menikmati prestasi cemerlang sejak beberapa musim lalu dan telah menjaringkan 12 gol setakat musim ini dan kekurangan dua sahaja lagi gol berbanding pencapaian terbaiknya sebelum ini.
Pemain antarabangsa Korea Selatan itu juga kini berjaya melakukan lima umpanan gol dan gandingan bersama Harry Kane dilihat paling cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris ketika ini.
Bagaimanapun, prestasi memuncak kedua-dua pemain itu menyebabkan Spurs berada dalam kebimbangan apabila beberapa gergasi Eropah sudah mengintai peluang untuk mendapatkan pemainnya itu.
Menurut laporan akhbar di Sepanyol, Real sudah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Heung-min, malah jurulatih Los Blancos, Zinedine Zidane juga bersetuju dengan cadangan untuk mendapatkan khidmat pemain itu.
Pihak pengurusan Real juga dipercayai bukan sekadar di peringkat perbincangan sebaliknya mereka serius untuk melancarkan bidaan mendapatkan Heung-min tetapi ia hanya mungkin berlaku pada penghujung musim nanti.
Heung-min yang mungkin tidak akan meninggalkan Spurs musim ini terutama ketika mereka dilihat mampu mencabar kejuaraan liga selain Real juga mungkin mampu mendapatkan pemain itu dengan harga lebih rendah pada musim panas nanti kerana ia berkait dengan baki kontrak.
Laporan menyebut, Heung-min mungkin dinilai dengan harga €100 juta (RM493.82 juta), namun Real perlu bersedia berdepan kesulitan kerana perpindahan tersebut dijangka sangat rumit. – AGENSI