fbpx

Mengurus diabetes dengan baik demi kesejahteraan pesakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEMPENA bulan kesedaran diabetes yang disambut pada setiap November, Abbott melancarkan kempen Glucerna #StartsWithYou untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengawal diabetes mereka dan hidup dengan baik.

Di Malaysia, diabetes menjadi satu masalah yang amat membimbangkan kerana ia boleh menjadi punca kepada berlakunya komplikasi lain terhadap kesihatan.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHSM), dianggarkan 3.6 juta rakyat Malaysia atau 15.6 peratus daripada populasi dewasa menghidap diabetes.

Malah, apa yang lebih membimbangkan, 5.9 peratus tidak mengetahui bahawa mereka sedang menghidap diabetes.

Diabetes yang tidak terkawal boleh menjejaskan kesihatan secara keseluruhan dan ia boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah jantung, kerosakan buah pinggang , dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, sempena bulan kesedaran diabetes yang disambut pada setiap November, Abbott melancarkan kempen Glucerna #StartsWithYou untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengawal keadaan mereka dan hidup dengan baik.

Pengarah Perubatan Pemakanan Abbott Malaysia, Dr. Nina Mazera Mohd Said berkata, kempen itu dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan untuk mencegah dan mengurus diabetes.

Menurutnya, diabetes merupakan satu penyakit yang paling tinggi dalam kalangan masyarakat kita dan mempunyai komplikasi yang sangat serius jika tidak dikawal.

Dr. Nina Mazera (dua dari kanan) berkongsi pandangan tentang diabetes di Malaysia.

“Dengan adanya kempen #StartsWithYou, kita mahu meningkatkan kesedaran bahawa perubahan bermula dari diri sendiri, dan bahawa kita perlu memahami risiko kita untuk mendapat diabetes. 

“Sangat penting untuk kita pergi melakukan ujian saringan secara berkala, sekaligus membantu mengesan diabetes dengan lebih awal,” katanya.

Tambahnya, pengesanan awal ini membolehkan kita mengambil tindakan sepatutnya bagi mengelak komplikasi lain yang lebih serius melalui rawatan awal.

Oleh itu, masyarakat perlu memahami dan mengetahui bagaimana diabetes ini boleh dicegah dan diuruskan dengan betul.

Dalam pada itu, kempen itu juga mengetengahkan kisah kejayaan rakyat Malaysia yang menyertai program intervensi gaya hidup selama empat minggu yang menggabungkan pemakanan yang baik dan senaman fizikal.

”Program Perubahan Gaya Hidup Glucerna telah membantu ramai penghidap diabetes menguruskan tahap glukosa mereka melalui perubahan gaya hidup yang positif termasuk pemakanan dan senaman yang baik.

“Kami gembira untuk berkongsi beberapa kisah kejayaan untuk memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia yang menghidap diabetes untuk membina tabiat hidup yang sihat,” jelas Dr. Nina Mazera.

Dalam pada itu, berkongsi gambaran keseluruhan keadaan diabetes di Malaysia, Pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi, Hospital Putrajaya, Datuk Dr. Zanariah Hussein berkata, punca diabetes di negara ini dan merata dunia adalah disebabkan berat badan berlebihan ataupun obesiti.

Menurutnya, berdasarkan kajian NHMS menunjukkan kadar obesiti di Malaysia semakin meningkat.

“Berdasarkan statistik terkini , kadar obesiti negara kini ialah 54 peratus, dengan satu dalam dua orang dewasa mengalami berat badan berlebihan.

“Selain itu, ada juga masalah yang dinamakan sebagai obesiti abdomen, iaitu keadaan di mana ukur lilit pinggang berlebihan dan berisiko untuk mendapat penyakit seperti diabetes jenis dua, darah tinggi dan masalah jantung,” jelasnya.

Dr. Zanariah berkongsi gambaran keseluruhan keadaan diabetes di Malaysia.

Tambahnya, amalan gaya hidup tidak sihat juga boleh menyumbang kepada masalah ini.

Malah, satu dalam tiga dewasa di Malaysia tidak aktif secara fizikal.

Manakala satu dalam dua dewasa juga mengamalkan gaya hidup sedentari iaitu terlalu banyak duduk dan jarang bergerak.

Sementara itu, Dr. Zanariah menjelaskan, prevalen terkini diabetes di Malaysia adalah sekitar 15 peratus menurun daripada 18 peratus pada 2019.

“Kami gembira melihat kadar diabetes di Malaysia berkurang sedikit, namun bagaimana ia boleh berlaku sedangkan kadar obesiti kita semakin meningkat.

“Sebenarnya dalam tempoh tersebut kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan kita perlu faham bahawa ramai mangsa kepada virus tersebut kebanyakan mereka adalah penghidap diabetes,” jelasnya.

Tambahnya, masyarakat perlu mengetahui bahawa kini satu dalam enam dewasa Malaysia mempunyai diabetes.

Seramai 9.7 peratus telah didiagnosis dan mereka sedar bahawa mereka menghidap diabetes.

Namun apa yang membimbangkan 5.9 peratus lagi belum mengetahui mereka sedang berhadapan dengan diabetes.

“Mereka yang menghidap diabetes tetapi belum menyedarinya kebanyakannya adalah golongan muda.

“Orang muda kini ramai yang memiliki berat badan berlebihan, jarang bergerak dan pemakanan juga tidak dijaga dan mereka memang ada risiko diabetes walaupun merasakan diri sihat.

“Jika ada risiko terutamanya berkaitan latar belakang keluarga lebih baik pergi melakukan pemeriksaan dengan lebih awal untuk mengesannya,” kata Dr. Zanariah.

Dalam pada itu, pakar perunding dietetik, Indra Balaratnam berkata, walaupun terdapat pelbagai faktor dalam menguruskan diabetes, pemakanan kekal menjadi sesuatu yang penting .

Menurutnya, individu yang menghidap diabetes perlu mengambil berat tabiat pemakanan mereka.

INDRA menekankan bahawa pemakanan merupakan antara faktor terpenting untuk mengurus diabetes.

“Pemakanan penting kerana ia memberi kesan secara terus kepada paras gula dalam darah.

“Jika kita terlebih makan melebihi apa yang kita perlukan, ia akan meningkatkan kadar paras gula dalam darah dan juga akan menyebabkan berat badan meningkat,” katanya.

Oleh itu, pesakit diabetes perlu memahami bahawa pemakanan adalah penting dan perlu tahu berapa banyak makanan yang diambil,  serta membuat pilihan makanan yang betul dalam pengurusan diabetes. 

Suku-suku separuh merupakan konsep pemakanan yang begitu praktikal untuk diamalkan bukan sahaja kepada pesakit diabetes malah untuk semua orang untuk menjaga kesihatan.

Indra menjelaskan, kebanyakan rakyat Malaysia mengambil karbohidrat yang tinggi dalam pemakanan mereka.

“Malah karbohidrat sering menjadi hidangan utama dalam makanan, tetapi dengan suku-suku separuh kita membahagikan makanan mengikut keseimbangan.

“Kita boleh bahagi suku untuk karbohidrat, suku untuk protein dan lagi separuh untuk sayur-sayuran dan keseimbangan ini akan membantu kita mengekalkan kandungan gula dalam darah dengan lebih baik,” terangnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI