IPOH – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengetuai senarai 213 orang penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Beliau akan menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri semasa Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang akan diadakan sebanyak dua sesi iaitu pada 9 November dan 16 November depan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Menurut Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (Bersara) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin, SPMP juga akan diterima oleh dua lagi individu iaitu Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Dato’ Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.
“Tan Sri Syed Danial tidaklah asing bagi negeri Perak dan pernah bertugas di Perak. Beliau pun ada terlibat secara tidak langsung, kita mendapatkan nasihat daripada beliau semasa pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak semasa pemasyhuran baginda,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Zahidi juga berkata, Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato’ pula dianugerahkan kepada kepada Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron selaku penerima tunggal darjah tersebut.
Sementara itu, baki 209 lagi penerima akan menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ kepada lapan orang penerima, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada enam penerima, Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 13 penerima dan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 28 penerima.
Selain itu Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 14 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 39 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 61 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 30 penerima serta Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 10 orang penerima. – KOSMO! ONLINE