KUALA LUMPUR – Seorang bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) memberitahu, jika dia mati berjuang di Syria keluarganya masih ada lagi empat anak lelaki.
Akmal, 38, berkata, dengan sebab itulah dia nekad untuk ke Syria bagi berjuang bersama-sama IS atau Daesh.
“Sebelum pergi, saya berbincang dengan keluarga. Saya kata jika apa-apa berlaku, ibu dan bapa saya masih mempunyai empat lagi anak lelaki.
“Tidak semua orang hendak mati. Saya tidak menghasut orang. Orang yang hendak pergi ke sana perlu berani habis-habisan. Persediaan mental itu penting,” katanya.
Menurut Akmal, dia turut merancang untuk membakar pasportnya sebaik sahaja tiba di Syria bagi melupuskan identitinya dan memadam segala jejak di Facebook, X serta gambar-gambar di media sosial. – KOSMO! ONLINE