SUNGAI BULOH – Kebakaran membabitkan sebuah gudang di Jalan IDA 1, Taman Perindustrian KIP, di sini, dapat dikawal sepenuhnya sekitar pukul 2.07 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 12.54 tengah malam tadi.
Katanya, seramai 47 kekuatan bersama 14 jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Selayang, BBP Bukit Jelutong, BBP Damansara, BBP Petaling Jaya, BBP Rawang, BBP TTDI dan BBP Manjalara dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, kami (bomba) dimaklumkan mengenai kebakaran membabitkan sebuah gudang penyimpanan tayar, bateri dan kereta ‘buggy’ golf.
“Kerja-kerja mengawal kebakaran itu daripada merebak berjaya dilakukan dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 85 peratus kemusnahan terhadap gudang terbabit.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit,” katanya. -KOSMO! ONLINE.