KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera (ATM) menjalankan siasatan berkait kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang disyaki dibuli dan didera oleh seorang penuntut senior.
Bahagian dada pelajar kadet itu dipercayai ditekap menggunakan seterika sehingga meninggalkan kesan melecur seperti yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan ATM malam tadi, kes sedang disiasat di peringkat ALK-UPNM.
“ATM menegaskan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.
“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, masyarakat digesa agar memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara ini secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.
“Selain itu, masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan tersebut.
“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke semasa,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.