KOTA TINGGI – Seorang Pengurus Kafe GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memperdagangkan orang di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hassan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua suspek yang telah dituduh iaitu Mahmad Hamal Tukiman dan Rabiahtul Adawiah Md Shash, serta dua suspek yang masih bebas iaitu Afizah Arifin dan Norafiratul Abidah Ismail, didakwa mencapai niat bersama memperdagangkan orang yang bukan kanak-kanak berusia antara 30 hingga 57 tahun.
Perbuatan ke atas tiga wanita dan seorang lelaki itu adalah bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan cara ancaman di Ikhwan Resort Kampung Air Bintan, Ladang Sungai Papan, Bandar Penawar, Pengerang di sini, antara Mei 2024 hingga 1 Oktober lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan RM5,000 jaminan bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.
Hakim membenarkan jaminan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid mengesahkan tertuduh tidak lagi tertakluk dibawah tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – KOSMO! ONLINE