PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sekali gus mendoakan beliau diberikan keadilan sewajarnya.
Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak berniat mempertikaian keputusan mahkamah.
“Saya dengan rasa penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang dan tanpa sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat dapatan prima facie selanjutnya memanggil untuk membela diri mantan pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
“Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah, tetapi adalah ruang dan peluang Datuk Sri Najib untuk membela diri dan membuktikan diri beliau tidak bersalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, mewakili UMNO dan BN serta juga sebagai seorang sahabat, pihaknya yakin Najib berada di pihak yang benar.
“Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan.
“Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibawa ke muka pengadilan dan mudah-mudahan Datuk Sri Najib diberikan keadilan sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE