PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta rakyat Malaysia menyemarakkan perpaduan antara kaum dan mencari titik temu, meningkatkan ihsan kepada yang hidup melarat serta susah sempena perayaan Deepavali ini.
Anwar dalam hantaran di aplikasi Facebook berkata, Deepavali tiba dengan penuh kegembiraan dan semangat meraikan ‘pesta cahaya’ sebagai simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan selain kekuatan ilmu mengatasi kejahilan serta keangkuhan.
Katanya, sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya mesti menghidupkan sikap hormat dan persefahaman antara masyarakat.
“Justeru, saya berharap perayaan Deepavali kali ini dapat diraikan dengan semangat kebangkitan pemikiran yang segar dan murni agar darjat harakat rakyat seluruhnya dapat diangkat,” katanya dalam hantaran itu, hari ini.
Dalam kesempatan itu, beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu. – KOSMO! ONLINE