BUKIT KAYU HITAM – Pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam di sini mengalami sedikit kesesakan apabila rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti sempena sambutan Deepavali, esok untuk ke Thailand.
Tinjauan mendapati kesesakan berlaku kira-kira tiga kilometer (km) di Lebuh Raya Bukit Kayu Hitam dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini sejak sempadan dibuka sebelum pukul 6 pagi tadi apabila kenderaan pengembara beratur untuk pemeriksaan.
Hasil pemerhatian juga mendapati kesesakan berlarutan sehingga pukul 11 pagi apabila ratusan kenderaan semakin berpusu-pusu untuk melepasi sempadan negara itu.
Menurut salah seorang pelancong, Abu Hanafiah Hussain, 50, beliau bersama lima lagi anggota keluarganya bertolak awal pagi tadi dari Seremban, Negeri Sembilan untuk bercuti di Hatyai.
“Sudah lama tidak ke Hatyai ini, kali terakhir dua tahun lepas. Sebenarnya kami tidak tahu nak bercuti ke mana nak ke pulau sekarang musim hujan nak naik tempat tinggi pun agak risau. Jadi akhir pilih ke Siam sajalah,” kata ahli perniagaan ini ketika ditemui di sini, hari ini.
Dalam pada itu menurut Alicia Lim, 36, dari Pulau Pinang, Thailand menjadi pilihan kerana pelbagai tarikan termasuk makanan dan hiburan.
“Makanan banyak dan murah selain itu banyak tempat berhibur di sana. Walaupun terpaksa mengadap kesesakan tetapi masih berbaloi. Saya bercadang untuk bercuti dua malam sahaja di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE