PARIS – Bintang tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz memulakan kempen Paris Masters dengan penuh bergaya selepas mudah menewaskan pemain Chile, Nicolas Jarry menerusi keputusan 7-5, 6-1 awal pagi tadi.
Alcaraz yang menerima ‘bye’ pada pusingan pertama bermula garang apabila mendahului permainan dengan keputusan 3-0 tetapi Jarry berjaya bangkit mengejar sebelum juara Terbuka Perancis itu akhirnya memenangi set pertama dengan 7-5.
Namun, Alcaraz menunjukkan prestasi cemerlang dalam set kedua apabila tidak membenarkan lawannya dari Chile itu untuk mengheret perlawanan tersebut ke set ketiga sebelum meraih kemenangan.
“Agak sukar untuk bandingkan prestasi dari tahun ke tahun, tetapi secara mental saya berada dalam keadaan yang jauh lebih baik.
“Saya ingin beraksi di tahap terbaik pada musim ini. Motivasi saya tinggi untuk menang dan mencatat keputusan cemerlang,” katanya.
Hasil kemenangan tersebut, Alcaraz akan bertemu pemenang antara pemain Perancis, Ugo Humbert atau pemain Amerika Syarikat, Marcos Giron esok.
Alcaraz adalah pilihan utama untuk meraih gelaran pertamanya di gelanggang permukaan keras selepas pemain nombor satu dunia dari Itali, Jannik Sinner, menarik diri dari kejohanan lebih awal akibat jangkitan usus. -AGENSI