GEORGE TOWN – Polis belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan kesan penggeledahan pihak berkuasa di sebuah premis berkait GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di Nibong Tebal, dekat sini sehingga tular di media sosial, kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Kosmo! di sini berkata, tiada laporan berkaitan satu video tular di Facebook yang mendakwa terdapat al-Quran di lantai serta surau dipenuhi dengan najis haiwan hasil operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa.
Menurutnya, individu yang merakamkan video berkenaan sepatutnya bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa dan bukannya memuat naik di dalam media sosial sehingga menjadi tontonan dan bualan ramai.
“Individu terbabit sepatutnya buat laporan polis dan bukannya tular video seumpama itu di media sosial sekali gus telah menimbulkan kemarahan atau ketegangan awam terhadap pihak berkuasa.
“Pihak polis memandang serius tindakan seumpama itu termasuk dakwaan-dakwaan yang timbul daripada orang awam terhadap tugas pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, tular satu rakaman video yang memaparkan beberapa nashkah al-Quran termasuk surah Yasin terjatuh ke lantai hasil penggeledahan kawasan GIBSH selepas dua minggu Op Global Fasa 4 dijalankan di Pusat Pertanian itu di Nibong Tebal.
Video berdurasi satu minit 40 saat itu setakat ini mendapat 706 tanda suka, 217 komen dan 113 perkongsian dari pengguna media sosial.
Rata-rata pengguna mempersoalkan kesahihan video yang dirakam individu terbabit dan ada juga yang mencurigai tindakannya.
Pada 21 September lalu, Kosmo! melaporkan empat premis termasuk dua rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISBH di sekitar Seberang Perai, di sini telah diserbu pihak berkuasa.
Serbuan tersebut dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Keempat-empat premis yang diserbu adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (Pusat Jagaan Kanak-Kanak) Kubang Semang, Kedai Kek Dan Roti Ikhwan dan Ikhwan BP Mart di Bandar Perda.
Hasil serbuan terbabit, pihak JHEAIPP telah merampas enam buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan dengan Al-Arqam yang mana buku-buku ini telah diharamkan. -KOSMO! ONLINE