KOTA KINABALU – Sabah seakan sudah kembali menemui prestasi terbaik apabila membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Keputusan itu mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut malah paling mencuri perhatian adalah kualiti serangan The Rhinos yang kini mengumpul 13 gol dalam tiga perlawanan.
Kemenangan itu juga membolehkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mengutip 23 mata dan mula memberikan tekanan kepada Selangor FC di tangga kedua, menyaksikan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan tiga mata.
Jaringan seawal minit kedua menerusi sepakan penalti Saddil Ramdani seakan memberikan petanda positif buat tuan rumah namun Cleylton menangguhkan kegembiraan Sabah apabila meledak gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama.
Walaupun Sabah hanya memerlukan tiga minit di babak kedua untuk menambah jaringan menerusi Joao Pedro, kelebihan itu hanya bertahan 14 minit apabila Milos Gordic kembali menyamakan kedudukan.
Selang empat minit selepas itu, Pedro seakan memulakan pesta buat Sabah dengan menyumbangkan gol ketiga pasukannya.
Usaha KDA FC untuk kembali mengikat kedudukan seakan menemui jalan buntu sebaliknya tuan rumah nyata berada di kelas tersendiri untuk menambah dua lagi gol menerusi S. Kumaahran pada minit ke-84 dan Gary Steven Robbat pada masa kecederaan. – KOSMO! ONLINE